AmBank dan Perkeso jadi pemenang Anugerah Inovasi APAC Red Hat 2020 Malaysia | DagangNews Skip to main content

AmBank dan Perkeso jadi pemenang Anugerah Inovasi APAC Red Hat 2020 Malaysia

Anugerah Inovasi APAC Red Hat 2020 Malaysia

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Okt. - AmBank (M) Berhad dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dipilih sebagai pemenang dalam dua kategori Anugerah Inovasi APAC Red Hat 2020 di Malaysia.

Red Hat dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua syarikat tersebut dipilih susulan kecemerlangan penggunaan penyelesaian Red Hat yang inovatif dan luar biasa.

"AmBank berjaya memenangi kategori pembangunan cloud-native selepas mengaplikasikan Makmal Inovasi Terbuka Red Hat untuk mempelajari  penggunaan dan pemprosesan DevOps.

"Selepas mengikuti program selama lima minggu, bank tersebut berjaya menghasilkan prosedur operasi standard (SOP) untuk menguruskan projek aplikasi tangkas masa hadapan.

"Aplikasi baharu yang dibangunkan itu berjaya mengautomasikan beberapa proses pematuhan seperti kredit, risiko dan pemeriksaan syarikat selain mengurangkan kerumitan proses onboarding," jelas Red Hat dalam satu kenyataan hari ini.

Anugerah Inovasi APAC Red Hat 2020 adalah satu anugerah untuk mengiktiraf pencapaian teknologi setiap organisasi yang menunjukkan pemikiran kreatif, mengenalpasti penyelesaian masalah serta kreatif dalam menggunakan penyelesaian Red Hat untuk membawa perbezaaan dalam perniagaan, industri dan masyarakat.

Pemenang dipilih  berdasarkan kesan penggunaan Red Hat mereka terhadap perniagaan, industri dan komuniti.

Anugerah pada tahun 2020 itu memberi penghormatan kepada 27 organisasi APAC dalam lima kategori iaitu transformasi digital, infrastruktur hibrid awan, pengembangan cloud-native, automasi dan ketahanan.

Sementara itu, Perkeso pula berjaya menjadi pemenang bagi kategori transformasi digital.

Perkeso mengubah perkhidmatannya melalui penjenamaan semula sebagai sebahagian daripada Pelan Transformasi Perkeso 2017 yang menyokong Pelan Strategik organisasi 2016-2020.

Pelan tersebut memerlukan Perkeso melakukan transformasi sistem saraan warisan yang terdiri daripada modul berprogram dengan kod yang disatukan dalam perkhidmatan web berasingan.

Susulan itu, Perkeso memilih untuk menggunakan Red Hat Enterprise Linux bagi meneruskan jaringannya. - DagangNews.com