Inflasi diramal meningkat pada 2025 didorong rasionaliasi subsidi RON95, peluasan skop SST - HLIB | DagangNews Skip to main content

Inflasi diramal meningkat pada 2025 didorong rasionaliasi subsidi RON95, peluasan skop SST - HLIB

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Dis - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research meramalkan inflasi meningkat pada 2025, didorong pembaharuan dasar domestik seperti rasionalisasi subsidi RON95 dan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluaskan.

 

Katanya, inflasi juga akan dipengaruhi potensi tekanan harga global, terutamanya akibat dasar di bawah Presiden Donald Trump.

 

"Memandangkan faktor-faktor ini, bersama-sama dengan pertumbuhan domestik yang mampan serta pandangan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, kami terus menjangka Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman pada paras 3% untuk 2025, menerima pakai pendirian tunggu dan lihat," katanya dalam satu nota kajian.

 

Inflasi keseluruhan berada pada kadar 1.8% tahun ke tahun (YoY) pada November 2024, di bawah anggaran konsensus 2.1%.

 

Indeks Harga Pengguna (CPI) berada pada 133.3 mata, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

ARTIKEL BERKAITAN: Inflasi Malaysia meningkat kepada 1.8% pada November 2024 kesan kos makanan, minuman lebih tinggi - DOSM

 

Kenaikan itu sebahagian besarnya disebabkan kos yang lebih tinggi dalam makanan dan minuman yang berada pada 2.6% dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain pada 3.2%.

 

Inflasi makanan amat ketara, didorong oleh kenaikan 4.8% bagi harga ayam, dengan harga purata ayam standard mencecah RM10.41 sekilogram, meningkat daripada RM9.96 pada November 2023.

 

Bagaimanapun, inflasi dalam pengangkutan menyederhana kepada 0.4%, manakala maklumat dan komunikasi mencatatkan penurunan ketara sebanyak 3.9%, mencerminkan harga yang lebih rendah untuk perkhidmatan dalam kategori ini.- DagangNews.com