AmBank nafi penggabungan setakat ini spekulatif semata-mata | DagangNews Skip to main content

AmBank nafi penggabungan setakat ini spekulatif semata-mata

KUALA LUMPUR 23 Jun - AMMB Holdings Bhd (AmBank) menjelaskan bahawa laporan media baru-baru ini melibatkan Kumpulan AmBank berhubung penggabungan dan pengambilalihan (M&A) adalah spekulatif semata-mata.

 

“Seperti yang anda sedia maklum, kami dikawal oleh keperluan pendedahan yang tepat.

 

“Sekiranya dan apabila kami mempunyai sesuatu yang berkaitan untuk diumumkan, mengikut amalan terbaik dan tadbir urus korporat, pengumuman di Bursa Malaysia akan dibuat,” kata AmBank kepada Bernama hari ini.

 

Dalam nota 22 Jun 2023, Kenanga Research berkata "ini mungkin masa yang sesuai untuk M&A untuk AmBank, memandangkan prospek pasaran semasa dan iklim makro-ekonomi".

 

Firma penyelidikan itu berkata tinjauan asas semasa AmBank dan iklim tinjauan makro-ekonomi semasa "boleh memberikan peluang yang lebih sesuai" untuk penggabungan.

 

Hanya setahun yang lalu, pasaran hangat membincangkan kemungkinan perbincangan penggabungan antara AmBank dan RHB Bank Bhd, serta potensi pengambilalihan pegangan dalam Ambank oleh Grab Holdings Ltd.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sekarang masa sangat sesuai untuk AmBank laksanakan M&A - Kenanga Research

 

Sementara itu, RHB Bank Bhd berkata bank itu tidak meneroka sebarang peluang M&A pada masa ini, bagaimanapun, sekiranya peluang muncul, ia akan menilai dan menyelidik daya maju.

 

“Pada masa ini, di bawah strategi korporat tiga tahun Kumpulan Perbankan RHB iaitu ‘Together We Progress 2024 (TWP24)’, kami memberi tumpuan terutamanya kepada pertumbuhan secara organik.

 

“TWP24 kami tertumpu kepada tiga objektif strategik — Jadi Bank Utama Semua Orang, Utamakan Pengalaman Pelanggan dan Pandu Pertumbuhan Kualiti, dan kami akan terus mengamalkan budaya mengutamakan pelanggan yang kukuh dan mempertingkatkan idea yang mengutamakan pelanggan,” katanya. - DagangNews.com