AmBank unjur sektor pembuatan kekal perlahan selepas permintaan luar tidak menunjukkan sebarang peningkatan | DagangNews Skip to main content

AmBank unjur sektor pembuatan kekal perlahan selepas permintaan luar tidak menunjukkan sebarang peningkatan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Sept - AmBank Economic Research mengunjurkan sektor pembuatan kekal perlahan pada masa akan datang disebabkan permintaan luaran tidak menunjukkan sebarang tanda peningkatan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan global terus kekal di bawah paras penguncupan manakala di peringkat domestik, PMI pembuatan tempatan juga kekal di bawah paras penguncupan pada Ogos 2023, menandakan penguncupan bulan ke-12 berturut-turut.

 

Katanya, faktor yang menyumbang kepada perkara itu termasuk pengeluaran yang lemah, tempahan baharu yang terhad selain penurunan dalam pesanan eksport baharu, walaupun pada kadar yang lebih perlahan. 

 

"Kami melihat bahawa pertumbuhan pinjaman dalam sektor pembuatan menguncup sebanyak 3.7% pada Jun 2023, terdapat penguncupan dalam sektor utama termasuks elekterik dan selektronik (E&E) bahan kimia dan getah.

 

"Selepas mengambil kira semua faktor ini, kami melihat bahawa ekonomi akan berkembang sebanyak 4% untuk 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

BACA JUGA: Nilai jualan sektor pembuatan susut 3% kepada RM144 bilion pada Julai 2023 – DOSM

 

Firma penyelidikan itu berkata, sektor pembuatan terus mengalami penurunan dalam pengeluaran, dengan subsektor yang menyumbang kepada kemerosotan ini adalah produk petroleum, kimia, getah & plastik yang merosot sebanyak 4.1% selain produk E&E yang susut sebanyak 1.6%.

 

Katanya, antara sektor berorientasikan eksport yang terjejas ialah pembuatan kok & produk petroleum ditapis, pembuatan produk getah, pembuatan tekstil dan pembuatan komputer, elektronik & produk optik.

 

"Bagaimanapun, pengeluaran dalam industri domestik bertambah baik, diterajui pembuatan produk tembakau, kenderaan bermotor dan produk logam yang direka khas," katanya. - DagangNews.com