Ambil i-Sinar atas sebab hidup dan mati | DagangNews Skip to main content

Ambil i-Sinar atas sebab hidup dan mati

MERREPAK oleh JOHARDY IBRAHIM

 

APAKAH ada kaitan bila selang sehari pengumuman pertukaran CEO Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), diumumkan pula pengeluaran i-Sinar semakin dipermudahkan. Ada orang tanya. Saya jawab, tidaklah saya tahu.

 

Oleh kerana tidak tahu, tidak juga saya hendak ambil tahu. Nanti ter-mengetahui pula benda-benda yang saya tidak mahu tahu. Lagi haru.

 

Tetapi yang kita tahu, mereka dilantik semasa pemerintahan Pakatan Harapan selama 22 bulan. Sama seperti apa yang PH buat bila mereka berkuasa merubah semua teraju syarikat milik kerajaan dan agensi-agensi kerajaan. Agensi yang tidak berasaskan keuntungan tidak terlepas. Lihat sahaja NIOSH, tidak pasal-pasal Tan Sri Lee Lam Thye dibuang ketika itu. Orang nampak ia semacam tindakan purge semata-mata.

 

 

lee lam thye
LEE LAM THYE

 

Maka zaman PN sekarang, the government of the day ubah baliklah orang yang mereka suka untuk menerajui GLC dan agensi kerajaan. Banyak. Bukan KWSP sahaja. Dan saki-baki CEO yang dilantik zaman PH pun tahu habis sahaja kontrak mereka, silalah kemas kini LinkedIn masing-masing cari kerja lain.

 

Ada kalangan peneraju GLC ini dilantik berdasarkan merit dan ketokohan. Ini tidak dinafikan. Malangnya, pelantikan mereka dibuat ketika kerajaan berubah. Maka, pelantikan mereka diselubungi awan-awan persepsi yang gelap. Tidak boleh buat apa. Itulah hadiah zaman 22 bulan PH memerintah.

 

SEMUA LAYAK

Esok, 15 Februari 2021 kerajaan bakal memperincikan kelonggaran yang lebih banyak lagi untuk pencarum KWSP mengeluarkan RM10,000 dari akaun masing-masing. Saya bagaimana, tanya sahabat? Ada juga terfikir hendak turut serta. Lama juga sudah mengidam komputer riba berkuasa tinggi. Tetapi yang ada ini pun masih elok. Tidak mendesak. Biar dululah.

 

Sejak pengumuman Khamis lalu, reaksi orang ramai cukup positif. Ramai gembira terutama golongan berpendapatan rendah atau B40 yang benar-benar terkena impak pandemik COVID-19 ini. Golongan M40 turut menumpang kegembiraan. Golongan politik pula berebut-rebut mendakwa merekalah punca kerajaan cair hati sekarang.

 

BACA JUGA : Fikir sejenak kewajaran rebut RM10,000 dari akaun KWSP kita

 

SENARIO POLITIK

You know I know lah. Bab politik di Malaysia ini amat rumit. Beza parti pemerintah dengan pembangkang hanya dua kerusi. Yang sesama parti pemerintah pula, selalu tidak sekata sepersetujuan. UMNO saban hari secara terang-terangan cuit, cubit, kepit Bersatu, lebih-lebih lagi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang populariti dalam kalangan akar umbir tidak terhakis.

 

Di pihak pembangkang pula sama. Di kala mereka kata bersedia hendak merampas semula kuasa, ada sahaja hal menyebabkan rasa tidak manis antara DAP, PKR dan Amanah. Isu buku tulisan bekas Peguam Negara Tommy Thomas, kalau hendak dikata memberi untung kepada pembangkang, setakat ini ia kelihatan lebih kepada `backfired’.

 

SUKA ABAH

Jadi dalam apa keadaan sekali pun,  langkah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin atau nama timangannya, `Abah' melonggarkan lagi dan lagi kaedah permohonan i-Sinar ini, sedikit-sebanyak mendatangkan rasa kesukaan rakyat terhadap pentadbiran beliau.

 

Sementara 32.73 juta rakyat Malaysia dan entah berapa juta lagi pekerja asing di negara ini menanti proses cucuk vaksin yang dijadual bermula bulan ini, kemelut kewangan pencarum KWSP tentunya dapat dileraikan sedikit.

 

Jika tidak, mereka akan beralih kepada Ah Long yang menurut satu laporan akhbar minggu ini, dalam sehari agensi pinjaman wang mudah berbunga raksasa itu, menerima lebih 40 permohonan sehari!

 

Semua sudah tahu implikasi meminjam dengan Ah Long. Kadar faedah bukan dikira secara tahunan tetapi harian. Semua pernah tengok bagaimana peminjam yang culas, rumah mereka disimbah cat merah oleh gengster pemungut hutang. Malah ada dirantai leher seperti haiwan.

 

merrepak

 

Tetapi dalam keadaan serba kesulitan, bank belum tentu mahu beri, kawan-kawan hendak pinjam pun sama-sama kejang semasa pandemik ini. Jadi, mereka mengadu nasib dengan Ah Long, yang kononnya mahu tolong.

 

Maka, langkah kerajaan Abah Muhyiddin ini bertujuan mengelak lebih ramai orang menjadi peminjam wang, ketika kemampuan membayar balik pun samar-samar. Persoalan mengapa kewujudan Ah Long terus dibiar hidup, itu Bank Negara Malaysia jawablah. That one I also don’t know.

 

SEBOLEH-BOLEHNYA JANGAN KELUARKAN

Masih bolehkah memujuk dan menyakinkan anda supaya mengeluarkan RM10,000 hanya bila anda dalam situasi benar-benar mendesak, antara hidup dan mati? Susah. Ini duit saya. Awak siapa hendak larang?

 

Ada seorang pekerja sektor awam bercakap di dalam laporan berita TV, mengaku keluarkan duit tetapi disimpan untuk masa-masa kecemasan.

 

Salahkah pendekatan beliau? Tidak sama sekali. Ini dengan harapan, masa kecemasan itu tidak akan berlaku kerana beliau masih memiliki pekerjaan yang bergaji tetap bulanan.

 

Jadi mungkin, bila keadaan ekonomi sudah memulih dengan semua kita sudah dicucuk vaksin dan angka kes positif harian kembali ke satu angka, pekerja sektor awam ini akan memasukkan semula wang itu ke dalam KWSP. Kalau mengikut nilai konvensional semasa, peluang untuk seseorang itu memasukkan semula wang ke dalam KWSP adalah tipis, senipis kertas tisu.

 

merrepak

 

Ini kerana kefahaman orang ramai mengenai kepentingan dan fungsi caruman KWSP seolah-olah diketepikan sama sekali.

 

Bahasa mudah ialah caruman KWSP diwujudkan untuk menjaga hari tua kita, supaya kita ada duit selepas persaraan. Supaya kita tidak perlu berhempas-pulas bekerja selepas usia 60 tahun, dapat menumpu kepada aktiviti keagamaan, menjaga cucu atau lebih baik, bercuti ke luar negara bersama isteri sahaja.

 

Bila dikeluarkan RM10,000 bermakna kuranglah gandaan dividen simpanan. Ia tidak beranak sendiri dan KWSP tidak akan menggantikannya melainkan anda sendiri mengembalikan RM10,000 tersebut untuk diri anda sendiri.

 

KELUARKAN ATAS SEBAB HIDUP ATAU MATI

Yang disasarkan terutamanya penerima manfaat daripada dasar ini ialah golongan berpendapatan rendah iaitu pendapatan isi rumah di bawah RM4,849 sebulan. Kebanyakannya sama ada bekerja sendiri, berniaga kecil-kecilan atau mengambil upah harian.

 

merrepak

 

Inilah golongan yang paling teruk terkena impak COVID-19. Ketika orang mengomel penghantaran makanan bermotosikal sampai lewat, golongan B40 berkira-kira cukupkah duit untuk membeli beras kepada keluarga.

 

Seperti dinyatakan awal tadi, golongan ini paling teruk terjejas, paling terdedah kepada bencana ekonomi dan kita tidak mahu mereka mendapatkan bantuan daripada Ah Long yang hanya menambah teruk lagi kedudukan hutang piutang mereka.

 

Jadi, inilah matlamat utama  i-Sinar. Golongan B40 inilah sasaran utama.

 

Bagaimana dengan M40? Ya, mereka juga sama. Yang bergaji tetap, terpaksa akur bila gaji dipotong atau lewat dibayar disebabkan syarikat tidak ada perniagaan atau projek sepanjang pandemik ini berlaku sejak Mac 2020 hingga sekarang.

 

Sementelahan B40 tidak mempunyai banyak pilihan untuk menyusun semula ekonomi keluarga, mungkin M40 boleh cuba untuk berbuat demikian. Jika berkereta itu membebankan, jual dan gunalah motosikal. Orang lain cakap memang senang. Mereka tidak merasa keperitan, mungkin itu perasaan anda bila membaca ayat di atas.

 

HATI KENA KENTAL

Tapi ini adalah sekadar cadangan. Tidak salah mencuba. Saya sendiri pernah mencuba.  Bila Utusan Malaysia 1939 ditutup mendadak pada 9 Oktober 2019, saya ubah gaya hidup. Tiada keperluan untuk berpakaian formal, jadi tiada nafsu pun hendak ke pusat beli-belah. Sudah tiada pejabat, memang kereta jarang digunakan maka petang-petang berkayuh basikal dengan jiran tetangga.

 

merrepak

 

Apa bezanya anda di zaman pandemik ini? Ramai bekerja dari rumah (Work From Home). Fokus duit untuk bayar data internet. Ini penting sebab bos akan selalu panggil mesyuarat maya. Kalau dulu selalu makan di restoran, cubalah memasak. Servis penghantaran makanan pun sebenarnya mahal kalau hari-hari order.

 

Satu lagi saranan ialah berani berhijrah. Bukan sekadar dari segi konsep tetapi secara fizikal. Jika di tempat anda sekarang zon merah, bermakna sulit hendak mencari nafkah, carilah peluang di negeri lain yang kurang kemerahannya. Berhijrahlah. Keluar daripada keselesaan. Keluar daripada kelaziman.

 

Berhijrah ini memerlukan tahap pengorbanan maha tinggi. Tidak mengapa jika anda kena berhijrah seorang diri dahulu. Kemudian bawalah anak isteri sekali. Tetapi demi kesinambungan hidup, demi keselamatan keluarga, pergilah seorang diri dahulu.

 

Hati kena kental, sekental-kentalnya. Rasa homesick membuak-buak, terpisah dengan anak isteri berbulan lamanya akan menjadi detik paling mencengkam bila berjauhan. Sahabat-handai kini sekadar bersembang dalam WhatsApp. Kena buat sahabat baharu pula di bumi baharu. Tak sama. Kena ambil masa nak kenal hati budi. Ikhlas, jujur atau cepat sentap.

 

merrepak

 

IMPAK COVID-19 LAMA LAGI

Pendek kata, anda kena nekad ubah gaya hidup. Impak ke atas ekonomi Malaysia dan dunia kesan daripada pandemik ini tidak akan surut selepas kita semua dicucuk vaksin. Impak itu akan berlarutan setahun dua lagi untuk benar-benar pulih. Itu pun diharap tidak ada bencana lain melanda ketika kita semua merangkak keluar dari bencana COVID-19 ini.

 

Jadi sementara itu, cuba ubahlah gaya hidup. Jika dulu mewah, sekarang berpada-padalah. Jika dulu dapat duit terus belasah, sekarang simpan-simpanlah.

 

Ini sekadar peringatan untuk tuan-tuan, puan-puan dan diri saya sendiri sahaja. Tidak berani saya hendak memandai-mandai.   - DagangNews.com

 

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok setiap Ahad oleh Johardy Ibrahim, yang merupakan Ketua Kandungan TV Sarawak (MYTV, Astro 122), Pengarang Urusan DagangNews.com dan bekas Editor Eksekutif Utusan Malaysia 1939, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu King of Wishful Thinking oleh Go West berulang-ulang kali. 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud `membebel'.