AME REIT catat pendapatan hartanah bersih RM11.4 juta pada 4QFY24, isytihar DPU 1.87 sen | DagangNews Skip to main content

AME REIT catat pendapatan hartanah bersih RM11.4 juta pada 4QFY24, isytihar DPU 1.87 sen

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 24 April - AME Real Estate Investment Trust (AME REIT) mencatat pendapatan hartanah bersih (NPI) sebanyak RM11.4 juta pada suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24), meningkat 11.9% daripada RM10.2 juta pada suku yang sama sebelumnya.

 

Pencapaian ini didorong oleh peningkatan kukuh 15.9% dalam pendapatan sewa kepada RM12.5 juta daripada RM10.8 juta sebelumnya.

 

Dalam satu kenyataan kedia, AME REIT berkata, prestasi kewangan yang bertambah baik disebabkan terutamanya oleh pendapatan daripada pengambilalihan tiga hartanah perindustrian pada 2023, bersama-sama pembaharuan penyewaan yang tamat tempoh.

 

"AME REIT bercadang memberi ganjaran kepada pemegang saham dengan mengagihkan 99.9% daripada jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM9.8 juta untuk 4Q24, diterjemahkan kepada pengagihan seunit (DPU) sebanyak 1.87 sen. 

 

"Pendapatan boleh agih merangkumi pelarasan untuk keuntungan dalam nilai saksama hartanah pelaburan ditolak perbelanjaan cukai tertunda serta pendapatan pajakan belum dibilkan, yuran pengurusan yang perlu dibayar dalam unit dan pelunasan kos pembiayaan yang dipermodalkan," katanya.

 

Sementara itu, kenyataan itu memaklumkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 (FY2024), AME REIT menjana NPI sebanyak RM44.4 juta manakala jumlah pengagihan pendapatan berjumlah RM38.5 juta, mewakili 99.97% daripada pendapatan boleh agih untuk FY2024. 

 

"Prestasi kewangan REIT yang kukuh disokong oleh pendapatan sewa sebanyak RM48.0 juta. Keputusan kewangan yang dilaporkan untuk tempoh kewangan yang sepadan meliputi tempoh dari 20 September 2022 hingga 31 Disember 2022 dan tidak boleh dibandingkan.

 

"Pengagihan 4Q24 perlu dibayar pada 30 Mei 2024 kepada pemegang unit yang namanya tercatat dalam Rekod Pendeposit AME REIT pada penutupan perniagaan pada 9 Mei 2024," jelasnya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif I REIT Managers Sdn Bhd, Chan Wai Leo berkata, AME REIT mendapat manfaat daripada permintaan yang semakin meningkat untuk hartanah perindustrian, didorong oleh pelaburan asing dan domestik. 

 

Katanya, kejayaan ini juga disebabkan oleh aset berkualiti tinggi dan sokongan kepada penyewa termasuk peningkatan aset, yang menyumbang kepada kadar pembaharuan penyewaan yang menggalakkan dan pengembalian sewa.

 

“Kebanjiran syarikat multinasional ke dalam portfolio mengukuhkan lagi kedudukan kami dalam sektor hartanah perindustrian dan meningkatkan daya tarikan kepada pelabur. 

 

"Kami juga mengejar peluang untuk mengembangkan portfolio kami dengan hartanah perindustrian yang sejajar dengan strategi pelaburan kami," ujarnya.

 

Portfolio semasa AME REIT terdiri daripada 34 hartanah perindustrian dengan keluasan boleh sewa seluas 1.9 juta kaki persegi dan tiga hartanah berkaitan industri asrama pekerja. 

 

Secara keseluruhannya, AME REIT mempunyai hartanah di bawah pengurusan bernilai RM686 juta pada 31 Mac 2024.
- DagangNews.com