Malacca Securities kekal berhati-hati terhadap prospek UOA REIT kesan lebihan bekalan ruang pejabat | DagangNews Skip to main content

Malacca Securities kekal berhati-hati terhadap prospek UOA REIT kesan lebihan bekalan ruang pejabat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Malacca Securities kekal berhati-hati terhadap prospek UOA Real Estate Investment Trust (UOA REIT) kesan lebih bekalan ruang pejabat dalam pasaran selain tekanan inflasi dan kenaikan kadar faedah.

 

Katanya, faktor-faktor tersebut membuatkan kadar sewa kekal tidak berubah.

 

"Kadar penghunian portfolio keseluruhan kini berada pada 75.2%, dengan ketiadaan penyewa utama dari Menara UOA Bangsar menandakan potensi penurunan dalam pendapatan sewa untuk FY24," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) teras UOA REIT pada suku pertama 2024 susut 17.8% dari tahun ke tahun disebabkan penurunan kira-kira 8.5% dalam kadar sewa kasar akibat kadar penghunian yang lebih lemah sebanyak 57% (berbanding 97% pada tahun lalu) di Menara UOA Bangsar.

 

Ia berikutan ketiadaan penyewa Utama menyebabkan perbelanjaan operasi langsung meningkat sebanyak 15%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, nisbah penggearan bertambah 1.1% kepada 40.5% pada suku pertama tahun ini berbanding 39.4% pada penghujung FY23.

 

"Kami menjangkakan kos pinjaman meningkat secara beransur-ansur selepas Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3% pada Mei 2023," katanya.

 

Malacca Securities berkata, memandangkan PATMI teras berada di bawah jangkaan, mereka menyemak turun unjuran pendapatan FY24-FY25 antara 12%-16% kepada RM49.1 juta hingga RM52 juta.

 

"Walaupun unjuran pendapatan lebih rendah tetapi kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga asaran RM1.02 sesaham," katanya. - DagangNews.com