KUALA LUMPUR 25 Nov - CBH Engineering Holding Bhd memeterai perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities Sdn Bhd dalam perjalanannya menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
IPO CBH melibatkan 486.1 juta saham biasa termasuk terbitan awam sebanyak 298 juta saham dan tawaran untuk jualan sebanyak 188.1 juta saham.
Daripada saham IPO, 94 juta saham terbitan akan disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian, manakala 28.4 juta saham terbitan akan diperuntukan untuk pengarah, pekerja dan orang yang layak yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.
Selain itu, 128.5 juta saham terbitan akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.
Baki 47 juta saham terbitan dan 188.1 juta saham tawaran akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera terpilih yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.
Menurut perjanjian tersebut, Mercury Securities akan menaja jamin 122.5 juta saham terbitan yang disediakan bagi memperuntukan borang awam dan merah jambu Malaysia.
Pengarah Urusan Cheah Boon Hwa berkata, tinjauan industri hab data negara kelihatan positif.
“Selain itu, gergasi teknologi tempatan dan global seperti Microsoft, Google, Amazon, dan Telekom Malaysia membuat pelaburan besar untuk membangunkan pusat data berskala hiper dan perkhidmatan awan di negara ini.
“Di samping itu, peningkatan pelaburan asing dan domestik meningkatkan pembangunan hartanah komersil dan perindustrian bersama dengan infrastruktur sokongan, mewujudkan lebih banyak peluang untuk penyedia perkhidmatan kejuruteraan M&E seperti kami,” katanya.
Penyenaraian CBH dijadualkan pada Januari 2025 dengan Mercury Securities sebagai penasihat utama, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com