Program CSR teguhkan jenama Hard Rock Cafe Ipoh | DagangNews Skip to main content

Program CSR teguhkan jenama Hard Rock Cafe Ipoh

Program CSR mendekatkan HRC Ipoh dengan komuniti setempat.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 25 Nov - Tidak sekadar kafe berkonsepkan hiburan, sebaliknya Hard Rock Cafe (HRC) Ipoh turut memainkan peranan aktif dalam pelbagai program kemasyarakatan dan komuniti.

 

Sepanjang tahun ini HRC Ipoh terlibat dalam 7 program tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk anjuran pihak ketiga.

 

Menerusi penyertaan tersebut juga, sebanyak RM25,000 telah disumbangkan dalam bentuk wang tunai, penajaan, peralatan dan lain-lain.

 

Penolong Pengurus Besar HRC Ipoh, Mohd Najip Abllah berkata, pihaknya melihat aktiviti semasa CSR sebagai sebahagian daripada identiti perniagaan tersebut serta penjenamaan.

 

Ipoh

 

 

“Usaha ini bukan sahaja membolehkan kami memberi kembali atau membantu kepada masyarakat tetapi juga mengukuhkan hubungan kami dengan penduduk Ipoh. 

 

“Ini meningkatkan peranan kami sebagai sebuah entiti berpusatkan komuniti,” katanya kepada Dagang News.

 

Jelas Mohd Najib, setiap inisiatif CSR sejajar dengan misi untuk membuat perbezaan yang bermakna sesuai dengan 4 motto HRC iaitu ‘Love All Serve All’, ‘All is One’, ‘Take Time To Be Kind’ dan ‘Save The Planet’.

 

“Memandang ke hadapan, kami terus meneroka cara baharu untuk mengembangkan impak kami. 

 

“Kami berminat untuk mendalami penglibatan misalnya dalam kelestarian alam sekitar, berpotensi bekerjasama dengan organisasi tempatan untuk menganjurkan pembersihan dan kesedaran komuniti berskala lebih besar.

 

Ipoh
Sebahagian daripada kakitangan HRC Ipoh semasa terlibat dalam program komuniti di Pulau Sembilan dekat perairan Lumut.
 

 

Ipoh

Program gotong-royong membersihkan pagar dan kawasan lapang di Palo 101, Ipoh.

 

“Selain itu, kami sedang meneroka idea untuk pemerkasaan dan pendidikan belia, seperti program bimbingan dan perkongsian dengan sekolah-sekolah untuk memberi inspirasi kepada para pelajar,” ujar beliau.

 

Dalam pada itu, Mohd Najib turut mengalu-alukan mana-mana pihak jika ingin melaksanakan sebarang program CSR bersama HRC Ipoh.

 

“Kami mengalu-alukan pihak luar sama ada kerajaan atau swasta untuk bekerjasama dalam menaikkan taraf kehidupan persekitaran melalui program-program CSR akan datang. 

 

“Segala bentuk program atau cadangan boleh disalurkan kepada saya dengan menghubungi talian 017-7597 369,” ujarnya. - DagangNews.com