KUALA LUMPUR 28 Jan - AmInvest Research mengunjurkan keuntungan Kuala Lumpur Kepong (KLK) meningkat sebanyak 10% bagi tahun kewangan 2022 (FY22F) hasil daripada pengambil alihan IJM Plantations (IJMP) bernilai RM2.7 bilion.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan penghasilan tandan buah segar (FFB) akan meningkat sebanyak 27% pada FY22F akibat pengambil alihan itu selain ia akan meningkatkan kawasan matang KLK sebanyak 29.8% dengan IJMP memiliki lebih 55,000 hektar kawasan matang.
Bagaimanapun, firma itu menjangkakan hasil FFB akan berkurangan kepada 20.5tan/hektar pada FY22F berbanding 21.4tan/hektar pada FY21F kerana penghalisan FFB IJMP lebih rendah berbanding KLK.
Penghasilan FFB IJMP berlegar di sekitar 19tan/hektar untuk beberapa tahun ini kesan daripada pokok kelapa sawit muda di Indonesia.
"Penghasilan minyak sawit mentah (MSM) dijangka antara RM1,600/tan dan RM1,700/tan pada FY22F bebranding RM1,509/tan pada tahun lalu, walaupun terdapat kenaikan gaji dan kos baja namun ia akan diserap menerusi pengembangan penghasilan FFB.
"Kami melihat kos baja KLK akan meningkat lebih 30% pada tahun ini, kesan daripada peningkatan baja di peringkat global.
"Kami juga menjangkakan perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pembuatan mereka akan meningkat sebanyak 5.5% kepada RM768 juta pada tahun ini. Bahagian pembuatan KLK juga akan menampilkan prestasi cemerlang akibat peningkatan harga jualan dan permintaan yang semakin positif.
"Eropah memilih produk oleokimia tempatan berbanding import akibat kos penghantaran yang tinggi dan ia memberi kelebihan kepada loji oleokimia di Jerman dan KLK memiliki kapasiti pembuatan lebih sejuta tan produk oleokimia setahun di Eropah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'pegang' ke atas saham KLK yang dijangka meningkat kepada RM23.30 sesaham berbanding RM21.85 sesaham sebelum ini selain mengunjurkan keuntungan syarikat itu pada FY22F sebanyak 23.4% dengan kadar cukai lebih rendah iaitu 21% berbanding 30% sebelum ini.
"Kami juga menjangkakan, KLK tidak akan terkesan dengan Cukai Makmur di negara ini.
"Kami juga menyemak semula keuntungan bersih FY23F KLK sebanyak 6% selepas mengambil kira julat EBIT pembuatan yang lebih tinggi hasil daripada kos bahan mentah yang lebih rendah selain tidak terkesan dengan banjir yang melanda negara Disember lalu di SElangor," katanya. - DagangNews.com