AmInvestment kekal saranan 'overweight' terhadap sektor teknologi | DagangNews Skip to main content

AmInvestment kekal saranan 'overweight' terhadap sektor teknologi

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Ogos - AmInvestment Bank Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor teknologi dengan memberi keutamaan kepada syarikat yang menjurus ke arah segmen automotif.

 

Firma itu berkata, pemberian subsidi mungkin lebih disasarkan kepada proses tertentu serta kemungkinan pengembangan dengan segmen automotif bergantung penuh kepadanya.

 

"Ini membawa maksud kekurangan bekalan semikonduktor dalam segmen automotif akan kekal sehingga 2023," katanya dalam nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, jualan semikonduktor di peringkat global kekal utuh.

 

Katanya, pada Jun 2022, jualan semikonduktor meningkat 13% kepada AS$51 bilion (RM227 bilion) berbanding AS$45 bilion (RM200 bilion) pada Jun 2021 dan ia menunjukkan perkembangan pesat bagi tempoh 29 bulan tanpa gangguan.

 

"Sehingga kini, jualan meningkat sebanyak 21% kepada AS$305 bilion (RM1.3 trilion), di landasan yang betul untuk memenuhi unjuran jualan global World Semiconductor Trade Statistics (WSTS) 2022 sebanyak AS$601 bilion (RM2.6 trilion).

 

"Pertumbuhan jualan terus diterajui oleh pasaran Amerika Syarikat (AS), yang berkembang 29% diikuti oleh Jepun (16%), Eropah (12%), Asia Pasifik (12%) dan China (5%)," katanya.

 

Firma itu berkata, pemain semikonduktor tempatan kebanyakannya merupakan pemain pemasangan dan ujian (OSAT) semikonduktor sumber luar, tidak mungkin mempertimbangkan untuk menubuhkan kemudahan pembungkusan di AS.

 

Katanya, beberapa penyandang tempatan juga menyatakan keengganan dalam pengembangan AS terutamanya disebabkan pertimbangan kos dan hanya akan berbuat demikian sekiaranya mendapat sokongan kewangan daripada pelanggan.

 

"Kami tetap optimis bahawa aliran jumlah semikonduktor yang berpotensi lebih tinggi dari AS boleh memberi manfaat kepada pemain semikonduktor tempatan kerana menurut Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), Malaysia menyumbang 24% daripada dagangan global semikonduktor AS pada 2021.

 

"Secara global, Malaysia menyumbang sebanyak 7% kepada dagangan semikonduktor," katanya. - DagangNews.com