KUALA LUMPUR 22 Ogos - AmInvestment Bank Research kekal positif dengan prospek Inari Amertron Berhad didorong oleh aliran tunai yang kukuh selain kunci kira-kira yang sihat.
Firma itu berkata, selain itu masa depan kumpulan itu juga didorong oleh permintaan cip yang lebih tinggi terhadap peranti 5G dan aplikasinya.
"Pada masa sama, kumpulan itu merancang untuk mempelbagaikan aliran hasil melalui kerjasama dalam pemasangan semikonduktor penyumberan luar dan pembuatan ujian di China," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu mengakui unjuran daripada Gartner bahawa hasil semikonduktor global menurun sebanyak 2.5% kepada AS$623bil (RM2.17 trilion) pada 2023 kesan kekurangan cip terus berkurangan.
Tambahan pula, Gartner menganggarkan bahawa pertumbuhan hasil semikonduktor telefon pintar semakin perlahan manakala segmen pusat data akan kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan sebanyak 22% pada 2022.
"Sehingga 3QFY22, Inari meraih hasil 64% menerusi pendedahan kepada telefon pintar dan 12% kepada pusat data.
"Kami menjangkakan panduan lanjut mengenai kemajuan kumpulan melalui taklimat pelabur selepas ini," katanya.
Firma itu berkata, keuntungan teras bersih Inari bagi FY22 adalah sebanyak RM392 juta dan ia memenuhi jangkaan dan firma itu mengekalkan pendapatan FY23–FY24 dengan pertumbuhan konservatif sebanyak 4%.
Bagaimanapun, pendapatan kumpulan itu dari suku tahun ke suku tahun untuk 4QFY22 menurun sebanyak 7% kepada RM336 juta akibat kekangan bekalan bahan mentah dalam segmen perniagaan optoelektronik dan generik.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' untuk Inari dengan harga wajar (FV) RM3.27 sesaham. - DagangNews.com