AmInvestment tingkatkan unjuran TIV kepada 665,000 berbanding 630,000 bagi 2022 | DagangNews Skip to main content

AmInvestment tingkatkan unjuran TIV kepada 665,000 berbanding 630,000 bagi 2022

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Dis - AmInvestment Research meningkatkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 665,000 unit bagi 2022 berbanding 630,000 yang dibuat Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

 

Firma itu berkata, peningkatan unjuran itu dibuat selepas mengambil kira pertambahan jualan bagi jenama Perodua dan pada masa sama, firma itu meningkatkan unjuran TIV 2023 kepada 615,000 unit. 

 

Katanya, permintaan untuk kenderaan kekal kukuh berdasarkan berdasarkan tempahan terhadap beberapa jenama (tempahan bulanan Perodu semakin menghampiri pra pandemik).

 

"Selain pelancaran kereta konvensional, kenderaan elektrik (EV) juga boleh menambah sedikit dorongan kepada industri.

 

"Toyota komited pada pelancaran HEV dan BEV pada 2023 dan seterusnya, manakala Perodua menilai model hibrid. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan hasil dan pendapatan 2023 untuk sektor ini kekal dalam aliran menaik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'overweight' selepas mengambil kira pemulihan permintaan yang mampan dan ia selaras dengan unjuran keluaran dalam negara kasar (KDNK) Bank Negara Malaysia antara 4% higga 5% pada 2023.

 

"Bagaimanapun terdapat beberapa risiko yang akan dihadapi sektor itu termasuk pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) akan menyebabkan hakisan terhadap margin keuntungan kesan daripada kenaikan kos import.

 

"Selain itu, kadar inflasi berterusan akan memberi impak kepada kuasa membeli," katanya. - DagangNews.com