Media Prima melaporkan penyusutan 87% dalam keuntungan suku tahunan ekoran penurunan hasil | DagangNews Skip to main content

Media Prima melaporkan penyusutan 87% dalam keuntungan suku tahunan ekoran penurunan hasil

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Nov - Media Prima Bhd mencatatkan kejatuhan 86.77% dalam keuntungan bersih suku pertamanya daripada suku yang sama tahun lalu apabila hasil jatuh, ditambah dengan penurunan ketara dalam pendapatan operasinya yang lain.

 

Keuntungan bersih bagi suku pertama berakhir 30 Sept, 2024 (1QFY2025) susut kepada RM1.86 juta daripada RM14.06 juta pada 1QFY2024, menurut makluman syarikat itu di Bursa Malaysia pada Rabu.

 

Pendapatan sesaham turun kepada 0.17 sen daripada 1.27 sen. Tiada dividen diisytiharkan.

 

Hasil susut RM18.98 juta atau 8.87% kepada RM194.94 juta daripada RM213.92 juta, berikutan jualan pengiklanan dan bukan pengiklanan terus terjejas oleh keadaan pasaran dan industri yang mencabar, katanya.

 

Kumpulan itu memiliki New Straits Times Press yang menerbitkan tiga akhbar — New Straits Times, Berita Harian dan Harian Metro. Ia juga mengendalikan saluran televisyen seperti TV3, NTV7, 8TV dan TV9, serta stesen radio seperti Hot FM dan Fly FM.

 

 

Media Prima

 

 

Walaupun segmen penerbitannya mencatatkan edaran akhbar yang lebih tinggi, serta hasil percetakan dan pengedaran yang lebih tinggi, hasil bagi segmen tersebut masih turun 5% disebabkan hasil pengiklanan yang lebih rendah.

 

Pengiklanan televisyen dan jualan bukan pengiklanan yang lebih rendah menyebabkan perniagaan penyiarannya mencatatkan penurunan hasil sebanyak 16%, yang dikurangkan oleh jualan pengiklanan yang lebih tinggi di platform audionya.

 

Turut turun ialah hasil di Omnia, penyedia penyelesaian pemasaran omnichannelnya, yang jatuh 9% disebabkan oleh hasil pengiklanan yang lebih rendah merentas kebanyakan platform media kumpulan. Begitu juga, segmen luar rumahnya mencatatkan penurunan hasil sebanyak 11% disebabkan oleh jualan paparan keseluruhan yang lebih rendah.

 

Pada masa yang sama, perniagaan beli-belah di rumahnya di bawah Wowshop mencatatkan penurunan pendapatan sebanyak 2%.

 

"Kumpulan itu menjangkakan prospek landskap media kekal mencabar kerana pasaran pengiklanan kekal tertekan oleh ketidaktentuan ekonomi dan gangguan digital yang berterusan," Media Prima memberi amaran.

 

"Fokus kumpulan kekal untuk mengekalkan prestasi kami merentas semua platform dan mengoptimumkan kecekapan operasi untuk menyokong pelan perniagaan tiga tahun kami berpandukan tiga tonggak pertumbuhan — peningkatan kualiti kandungan, premium inventori dan penerokaan aliran hasil baharu," katanya. - DagangNews.com