Gopeng Glamping Park terima pensijilan SIRIM bagi keselamatan aktiviti riadah | DagangNews Skip to main content

Gopeng Glamping Park terima pensijilan SIRIM bagi keselamatan aktiviti riadah

Aktiviti meredah arus deras antara yang popular pada pengunjung Gopeng Glamping Park.
Oleh Zaki Salleh

GOPENG 13 Jan - Gopeng Glamping Park meletakkan kedudukan sebagai salah satu pengendali pelancongan pengembaraan terkemuka apabila menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

 

Ia menerima Sijil SIRIM ISO 21101:2014 untuk sistem pengurusan keselamatan pelancongan pengembaraan bagi aktiviti berasaskan air dan darat daripada SIRIM QAS International. 

 

Pengiktirafan tersebut merupakan pencapaian besar kerana Gopeng Glamping Park menjadi pengendali pelancongan pengembaraan yang pertama di negara ini menerima pensijilan itu.

 

ISO 21101 menyediakan garis panduan kepada penyedia pelancongan pengembaraan mengenai pelaksanaan dan penyelenggaraan sistem pengurusan keselamatan untuk aktiviti di darat dan air. 

 

 

Perak
Aspek keselamatan ditekankan kepada pengunjung oleh petugas Gopeng Glamping Park yang berkemahiran mengendalikan aktiviti riadah.

 

Perak

 

Piawaian ini bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dan menggalakkan amalan terbaik dalam sektor pelancongan pengembaraan.

 

Pengurus Pemasaran Gopeng Glamping Park, Hazim Azalan berkata, pensijilan itu diberi setelah pihaknya melepasi piawaian yang ditetapkan oleh SIRIM.

 

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut membuktikan komitmen Gopeng Glamping Park dalam melaksanakan protokol keselamatan yang ketat dan memastikan keselamatan pengunjung.

 

“Sejak dibuka pada tahun 2018, Gopeng Glamping Park telah berkembang sebagai lokasi percutian perkhemahan yang menyediakan pelbagai aktiviti riadah mencabar.

 

“Antaranya seperti berkayak meredah arus deras, aktiviti panjat air terjun, ekplorasi ke Gua Tempurung, aktiviti rentas desa menunggang kenderaan ATV, paintball dan merentas hutan.

 

 

Perak

 

Perak

 

“⁠Keseluruhan kita mempunyai seramai 58 orang petugas termasuk mereka yang berkemahiran mengendalikan aktiviti riadah dan berkayak.

 

“Gopeng sendiri dikenali sebagai lokasi berkayak meredah arus yang popular di Malaysia, justeru penting untuk kami sebagai pengendali aktiviti ini meletakkan garis piawaian keselamatan yang ketat.

 

“Pada masa sama pensijilan ini mengukuhkan lagi aktiviti pelancongan pengembaraan di negeri Perak khususnya di Gopeng,” ujarnya kepada Dagang News.

 

Jelas Hazim, Gopeng Glamping Park juga baru-baru ini turut menerima penganugerahan Emas untuk pensijilan Jaminan Kualiti Pelancongan Malaysia daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.

 

Perak

 

Perak
Gopeng Glamping Park mempunyai 35 buah khemah pelbagai saiz yang boleh memuatkan 135 pengunjung pada satu-satu masa.

 

Katanya, ketika ini Gopeng Glamping Park mencapai kadar penginapan hampir 95% yang mana tempahan diterima daripada pengunjung termasuk sektor korporat.

 

“Sepanjang tahun lepas kita merekod kehadiran 27,971 pengunjung yang datang menginap.

 

“Kapasiti sedia ada adalah 35 buah khemah yang boleh memuatkan 135 orang pada satu-satu masa. 

 

“Berdasarkan angka ini pihak pengurusan merancang untuk meningkatkan lagi operasi termasuk menambah kapasiti pengunjung sedikit masa lagi,” ujarnya. - DagangNews.com