KUALA LUMPUR 13 Jan - Perkembangan hartanah di Lembah Klang, Johor, Pulau Pinang dan Malaysia Timur memacu pasaran sektor itu disokong oleh pelaburan strategik yang meningkatkan permintaan berterusan, kata Knight Frank Malaysia.
Perunding hartanah itu berkata, pasaran hartanah Malaysia bersedia untuk berkembang pada 2025 dengan tumpuan pada kemampanan, inovasi dan ketersambungan yang dipertingkatkan membuka jalan untuk pertumbuhan jangka panjang.
Katanya, prospek pasaran hartanah di kawasan utama negara berada pada kedudukan yang baik untuk menarik pelabur tempatan dan antarabangsa.
Pengarah Eksekutif Kanan Knight Frank, Judy Ong berkata, pasaran hartanah Malaysia disokong oleh permintaan perumahan mampan, peralihan dalam rantaian bekalan global yang melonjakkan permintaan, peningkatan pelaburan pusat data dan pemulihan kukuh dalam segmen hospitaliti.
"Ditambah dengan permintaan pembangunan mampan dan diperakui hijau semakin meningkat, industri ini bersedia untuk menyaksikan tahun yang progresif dan dinamik," katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Penyelidikan dan Perundingan Knight Frank Malaysia, Amy Wong, menganggap sektor perindustrian Malaysia menikmati pertumbuhan pesat manakala industri hospitaliti akan berpulih dengan kukuh.
"Sekroe hartanah secara keseluruhan menawarkan banyak peluang kepada pelabur dan pihak berkepentingan. Tumpuan terhadap kemampanan akan menjadi penting untuk pelaburan strategik masa hadapan," kata Wong.
Pengarah Urusan Kumpulannya, Keith Ooi berkata, pasaran hartanah Malaysia telah menyesuaikan diri secara konsisten dengan cabaran, membuka jalan untuk pertumbuhan yang mampan.
"Dengan penekanan kami terhadap alam sekitar, sosial, dan tadbir urus, inovasi dan pembangunan infrastruktur, pasaran hartanah diramal terus berkembang maju, mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju serantau," katanya.
Mengulas mengenai prestasi 2024, syarikat itu berkata, pasaran hartanah menunjukkan daya tahan dan pertumbuhan stabil merentasi pelbagai sektor didorong oleh pelaburan strategik, peningkatan infrastruktur dan permintaan pasaran yang berkembang.
"Sektor perindustrian mendahului dengan kemajuan teknologi dan kemampanan, manakala pejabat dan pasaran runcit meneruskan pemulihan mereka, disokong oleh perubahan pilihan penduduk dan perbelanjaan pengguna.
"Sementara itu, sektor hospitaliti menyaksikan peningkatan dipacu oleh ketibaan pelancong dan permintaan perumahan mewah kekal stabil dibantu oleh inisiatif kerajaan dan penambahbaikan infrastruktur," katanya.- DagangNews.com