KUALA LUMPUR 13 Jun - Barakah Offshore Petroleum Berhad berkata, anak syarikat milik penuhnya, PBJV Group Sdn. Bhd. memperoleh lesen selama tiga tahun daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Lesen itu diberikan Petronas selepas dua bulan mereka menarik balik penggantungan terhadap lesen PBJV yang dikenakan pada 2019
“Syarikat dengan sukacitanya mengumumkan bahawa permohonan pembaharuan lesen oleh PBJV daripada Petronas telah berjaya,” katanya satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Katanya, Petronas memberikan lesen kepada PBJV dengan pengembalian semula sepenuhnya kod SWEC (kategori kerja dan peralatan standard) bagi semua 27 kategori lesennya yang diluluskan.
Petronas menggantung lesen PBJV selama tempoh tiga tahun pada 9 Julai 2019, berikutan ketidakprestasian unit Barakah berhubung penyediaan perkhidmatan bawah air untuk Petronas Carigali Sdn. Bhd.
Perkara itu menyebabkan PBJV tidak diberikan sebarang kontrak baharu oleh Petronas, anak syarikatnya, atau mana-mana kontraktor penyusunan petroleum (PAC) semasa tempoh penggantungan.
PBJV juga tidak dibenarkan membida projek baharu yang dijalankan oleh Petronas, anak syarikatnya dan PAC. - DagangNews.com