KUALA LUMPUR 10 Julai - Anak syarikat milik penuh Theta Edge Bhd, Theta Telecoms Sdn Bhd memperoleh kontrak RM673.8 juta bagi membangunkan, menyediakan dan menyelenggara teknologi Internet Benda (IoT) untuk inisiatif perniagaan pintar di Ampang Jaya.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan komunikasi dan teknologi maklumat itu mengumumkan kontrak yang dianugerahkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya itu akan berlangsung selama 240 bulan, dari 15 Julai 2024 hingga 14 Julai 2044.
Menurutnya, Theta Telecoms menerima surat tawaran itu dengan melaksanakan surat penerimaan pada Selasa.
Theta Edge berkata kontrak itu akan meningkatkan kedudukan syarikat dalam perkhidmatan kejuruteraan telekomunikasi digital, rangkaian komunikasi khusus dan industri bandar pintar.
"Ia dijangka memberi kesan positif kepada pendapatan sesaham dan aset bersih sesaham syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 dan seterusnya sehingga projek siap," tambahnya. - DagangNews.com