Anggaran untung bersih EITA ditingkat hingga 10% | DagangNews Skip to main content

Anggaran untung bersih EITA ditingkat hingga 10%

EITA Resources Bhd.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Operasi pembekal utama kepada kontraktor elektrik, EITA Resources Bhd. (EITA) dijamin tidak terganggu oleh situasi semasa PKP yang disebabkan oleh penularan COVID-19.

 

CGS-CIMB Research berkata, susulan itu pihaknya meningkatkan anggaran untung bersih bagi tahun kewangan berakhir September 2021 hingga 2023.

 

"Tunai bersih EITA meningkat dari RM11.9 juta pada akhir tahun kewangan berakhir Mac 2013 kepada RM41.2 juta pada akhir tahun kewangan September 2020.

 

"Kami juga menaikkan ramalan untung bersih bagi tahun kewangan September 2021 hingga 2023 sebanyak 4% hingga 10% kerana syarikat memberi jaminan bahawa operasi tidak terganggu oleh PKP," jelas CGS-CIMB Research.

 

Dalam sesi panggilan persidangan bersama CGS CIMB Securities’, EITA memaklumkan hasrat pihaknya untuk melakukan penggabungan dan pengambilalihan (M&A) bagi meningkatkan pendapatan syarikat daripada RM284.1 juta pada tahun kewangan September 2020 kepada RM1 bilion menjelang tahun kewangan 2025.

 

Jumlah itu lebih daripada tiga kali ganda jumlah perolehannya bagi tempoh lima tahun, sekali gus menjadikan pendapatan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) kepada 28.6%.

 

CGS-CIMB berkata, rancangan EITA untuk berkembang secara agresif di luar negara memerlukan kepada persaingan secara langsung bersama pemain indsutri lif global yang mapan.

 

Persaingan sengit dijangka menyekat rancangan kumpulan tersebut dalam usaha meningkatkan pendapatan di luar negara.

 

CGS-CIMB Research mengekalkan saranan 'tambah' saham EITA dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM2.08.

 

"Kami berpendapat bahawa EITA layak mendapat penilaian yang lebih baik kerana mempunyai sasaran untuk meningkatkan pendapatan di luar negara," tambah CGS-CIMB Research. - DagangNews.com