Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Dato’ Abdul Fattah Abdullah
PETALING JAYA 9 Jun – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) giat menjalinkan kerjasama dengan pihak Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam usaha memperkasakan koperasi siswa dan membudayakan keusahawanan koperasi selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.
Presiden ANGKASA merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization (ACO), Dato’ Abdul Fattah Abdullah berkata ANGKASA sedia membantu menubuhkan lebih banyak koperasi di IPT agar dapat memberi manfaat kepada siswa.
Katanya, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) sehingga bulan Jun 2021 terdapat 257 buah koperasi siswa dengan keanggotaan seramai 185,488 orang; modal syer/ yuran melebihi RM174.4 juta; jumlah aset melebihi RM600.4 juta dan perolehan melebihi RM109.2 juta.
Menurut beliau, berbanding dengan jumlah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) dan kolej yang ada di negara ini, hanya sebilangan kecil sahaja yang menubuhkan koperasi.
Ini membuktikan ujarnya, lebih banyak usaha dan kerjasama perlu dipergiat oleh Kementerian Pengajian Tinggi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan ANGKASA bagi memastikan tiada lompang antara koperasi sekolah dan koperasi siswa.
Beliau berkata, usaha ini penting dalam melahirkan usahawan sosial yang boleh mengimbangi usahawan korporat di masa hadapan.
“ANGKASA juga menyarankan pihak universiti untuk menawarkan program usahawan kepada siswa secara langsung (hands-on) di kampus.
"Ini akan menyuntik minat dan menggalakkan pembudayaan keusahawanan dalam kalangan siswa, lebih-lebih lagi jika mereka aktif dalam koperasi siswa dan bakal membawa pengalaman mereka ke dalam komuniti selepas tamat pengajian nanti,” katanya ketika berucap merasmikan Webinar Pemerkasaan Koperasi Siswa IPT anjuran ANGKASA, Selasa.
Webinar Pemerkasaan Koperasi Siswa IPT yang disertai seramai 390 peserta secara dalam talian turut dihadiri oleh Prof. Madya Dato’ Dr. Hj. Abdul Rahman Abdul Razak Shaik, Naib Presiden ANGKASA merangkap Penolong Naib Canselor Universiti Pertahanan Malaysia (UPNM) selaku moderator webinar.
Barisan panelis adalah: Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam Pengarah Eksekutif, Institut Pembangunan
Keusahawanan Dan Koperasi (CEDI) Universiti Utara Malaysia (UUM); Dr. Mohd Shaari Abd Rahman, Pengarah Pusat Keusahawanan Dan Kerjaya (CEC), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), kepimpinan tertinggi dan pengurusan ANGKASA, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKM) serta para anggota koperasi siswa Malaysia.
“Program hari ini adalah sebahagian usaha ANGKASA menggerakkan kerjasama antara koperasi dengan Pusat Keusahawanan Universiti bagi memastikan penglibatan lebih ramai siswa dalam koperasi, seterusnya menjadikan koperasi pemangkin kegiatan ekonomi di kampus.
"Kerjasama strategik akan memberi kebaikan kepada semua pihak lebih-lebih lagi dalam pembangunan modal insan dan pembudayaan keusahawanan negara,” kata Dato’ Abdul Fattah Abdullah.
Beliau berkata, Webinar Pemerkasaan Koperasi Siswa IPT ini akan melahirkan lebih ramai belia bekerja sendiri berbanding makan gaji.
Oleh yang demikian, pemerkasaan gerakan koperasi menjadi penyokong agenda pembangunan sosioekonomi negara, yang seterusnya akan menyumbang secara langsung kepada hasrat menjadikan Malaysia sebagai Negara Keusahawanan Unggul menjelang tahun 2030. - DagangNews.com