Apa kemungkinan berlaku bila Belanjawan 2021 tidak diluluskan? | DagangNews Skip to main content

Apa kemungkinan berlaku bila Belanjawan 2021 tidak diluluskan?

MERREPAK OLEH JOHARDY IBRAHIM

 

 

AMERIKA SYARIKAT sedang mengalami peningkatan kes-kes positif coronavirus atau COVID-19 jauh lebih tinggi daripada mana-mana tempoh sejak sembilan lalu. Lonjakan kes dilaporkan di seluruh 50 negeri dengan Jumaat lalu sahaja lebih 165,000 kes baharu dicatatkan.

 

Keadaan tersebut mendorong beberapa negeri sama ada sudah melaksanakan atau baru hendak mempertimbangkan untuk mengenakan kawalan lebih ketat bagi mengelakkan wabak itu terus menerus merebak. Oregon dan New Mexico telah melaksanakan perintah berkurung. New York, Ohio dan Utah berusaha mendapatkan kelulusan untuk mengambil langkah mengehadkan perhimpunan orang ramai.

 

Gelombang musim panas tersebut tercetus susulan negeri-negeri melonggarkan sekatan dan perniagaan dibuka semula. Lonjakan kes baharu ini berlaku semasa permulaan musim sejuk yang mendorong orang ramai memasuki kawasan tertutup di mana virus itu mudah merebak.

 

Sepanjang masa ini, Kongres Amerika Syarikat kekal tidak berganjak dengan pendirian mengenai pakej bantuan coronavirus dengan kedua-dua pihak Republikan dan Demokrat bertelagah mengenai saiz dan skop mengenai usaha-usaha menyelamat kerajaan.

 

Demokrat mengkritik Republikan kerana mahukan pelan bantuan yang lebih kecil iaitu AS$500 bilion. Demokrat pula bertegas sekurang-kurangnya AS$2 trilion sebagai perbelanjaan tambahan. Semua ini berlaku ketika Presiden Donald Trump teralih perhatiannya untuk memenangi pilihan raya awal bulan ini.

 

aaa

 

Paralisis mengenai pakej rangsangan ini mendorong beberapa pakar ekonomi beranggapan gelombang terbaharu COVID-19 itu juga didorong oleh ketiadaan pakej bantuan kerajaan AS.

 

"Pakej stimulus (rangsangan) akan mengandungi dana untuk kesihatan awam dan ujian serta pengesanan. Dana itu seharusnya menyediakan peruntukan bagi sekolah untuk dibuka,” kata Ernie Tedeschi, ahli ekonomi polisi di Evercore ISI, memberitahu Business Insider. "Saya rasa berlaku kesan ke atas kesihatan awam disebabkan ketiadaan pakej rangsangan kerajaan.”

 

Jason Furman, bekas penasihat kanan ekonomi kepada Presiden Barack Obama, berkata, pakej menyelamat kerajaan persekutuan boleh membantu mengekang virus itu daripada merebak.

 

"Wang dibelanjakan bagi meghalang virus mempunyai kesan besar ekonomi terhadap apa sahaja yang kita lakukan,” tulis Furman di dalam Wall Street Journal, Rabu lalu. “Melihatkan betapa pantasnya virus ini merebak, setiap hari yang berlalu tanpa pembiayaan ini benar-benar menggadai nyawa dan pekerjaan.”

 

Bila diteliti pandangan ahli ekonomi dan media massa mengenai apa yang berlaku di Amerika Syarikat, bunyinya sama dengan yang berlaku kepada Malaysia.

 

Bezanya di negara kita, ramai menyalahkan pilihan raya negeri Sabah yang gagal mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan mengakibatkan angka kes baharu di seluruh negara melonjak semula ke paras 800 kes ke 1,000 kes sehari sejak empat minggu ini.

 

Amerika Syarikat juga menyaksikan pilihan raya besar-besaran diadakan untuk memilih presiden pada 3 November lalu. Bezanya ialah rakyat negara itu keluar mengundi beramai-ramai untuk menukar kepimpinan negara yang dilihat tidak meletakkan isu COVID-19 sebagai keutamaan pentadbirannya.

 

Justeru, perubahan tampuk eksekutif AS kepada Joe Biden, sebagai calon Demokrat bakal menyaksikan kehendak menambah dana bagi menangani COVID-19 tidak akan menjadi masalah.

 

Dalam konteks serupa juga, Malaysia baharu sahaja mendengar pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan pada 6 November lalu dan sekarang berlangsung sesi perbahasan dalam kalangan Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

 

Secara umumnya, kerajaan sudah memperuntukkan sebanyak RM1.8 bilion tahun ini bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan perkhidmatan kesihatan awam berkaitan COVID-19 termasuk membeli kelengkapan perlindungan diri (PPE) reagen dan bahan guna habis.

 

Bagi Belanjawan 2021, kerajaan mahu RM1 bilion lagi disediakan.

 

aaa

 

Kita tahu betapa masalah hampir serupa di Amerika Syarikat turut berlaku di Malaysia dengan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah dapat menjangka tentangan yang bakal diterimanya daripada Ahli-ahli Parlimen baik daripada pembangkang, mahupun rakan sepakatan dengannya yang membentuk kerajaan.

 

Baru sekarang kita mengerti mengapa Perdana Menteri mahu mengusulkan perisytiharaan darurat, demi memastikan kelancaran Belanjawan 2021 yang memberi tumpuan jitu kepada menangani kesan COVID-19.

 

Rentetan kejadian itu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah menolak permintaan Perdana Menteri.

 

Namun baginda mengeluarkan titah supaya ahli politik berhenti berpolitik demi kesejahteraan rakyat menghadapi pandemik COVID-19 sekarang ini.

 

Sambil kita meraikan demokrasi dengan mengizinkan Ahli Parlimen melaksanakan kebebasan bersuara bagi mewakili suara rakyat, seharusnya titah Agong juga harus dipegang.

 

Memang wajar untuk Ahli Parlimen mengemukakan cadangan, saranan dan desakan. Itu yang rakyat mahukan. Tetapi bukan dengan mengugut secara halus, apalagi secara kasar. Mengisytihar tidak akan mengundi menyokong jika sesuatu aspek tidak dipenuhi.

 

aaa

 

Apa akan terjadi jika 23 November ini, Belanjawan 2021 itu gagal diluluskan? Mungkin Perdana Menteri kena letak jawatan kerana secara prinsipnya ia menandakan cadangannya tidak mendapat kepercayaan Dewan Rakyat. Kemudian apa? Kena pilih Perdana Menteri baru pula.

 

Ketika semua pihak baik pakatan sana, pakatan sini hanya memiliki majoriti tipis, apakah anda berani bertaruh 6 bulan duit KWSP anda bahawa `gangguan’ serupa tidak berulang? Dan belanjawan negara terus tergantung.

 

Atas sebab itulah, kita ini rakyat marhain walaupun seronok ada orang perjuangkan agar dapat duit RM10,000 sekali gus, kena ingat bahawa kalau hendak menang, jangan menang sorak, kampung tergadai.

 

Kesan implikasi kegagalan Belanjawan 2021 pada 23 November ini adalah berat dan tidak menguntungkan sama sekali. Duit untuk melawan COVID-19 akan tergantung. Petugas barisan hadapan bergadai nyawa sampai bila tidak ketahuan. Dan kerja dari rumah, semakin merimaskan, bukan?

 

Jadi jika lupa, kita ingin ingatkan semula kepada ahli politik sekalian bahawa anda semua sudah melafazkan ikrar taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Mustafa Billah Shah untuk menyokong belanjawan ini.

 

Kalau pura-pura tidak ingat pun, jangan bimbang. Kami rakyat dan media akan tolong ingatkan.   - DagangNews.com

 

 

MERREPAK adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim, yang merupakan Editor DagangNews.com dan bekas Pengarang Berita Ekonomi Utusan Malaysia, pada setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu I Want To Break Free oleh The Queen berulang-ulang kali. 

*Merrepak atau Krepak adalah dialek Melayu Sarawak bersamaan maksud dengan `membebel'.