Apabila PNB pula mula jual aset | DagangNews Skip to main content

Apabila PNB pula mula jual aset

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

Minggu ini kecoh dengan isu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Rata-rata tidak berpuas hati dengan cara dana persaraan itu mengendalikan kebimbangan rakyat yang sangat memerlukan bantuan kewangan.

 

Tetapi apabila institusi itu cuba menjelaskan kedudukan sebenar bahawa pihaknya terpaksa menjual aset bagi membiayai pengeluaran oleh pencarum, ia menimbulkan satu situasi lain pula. 

 

Alih-alih semalam, satu lagi dana pelaburan kerajaan, Permodalan Nasional Berhad (PNB) menjual 56.3% pegangannya dalam Chemical Company of Malaysia Bhd (CCM) kepada Batu Kawan Berhad dengan nilai RM292.8 juta.

 

Sebagai sayap pelaburan penting negara, KWSP dan PNB memiliki pegangan dalam syarikat strategik yang mampu memberi pulangan tinggi kepada pencarum dan pemegang unit amanahnya.

 

Tidak terkecuali Khazanah Nasional Berhad yang awal Oktober lalu bercadang untuk menggabungkan pegangan syarikat hartanahnya, UEM Sunrise dan EcoWorld hingga mencetuskan perdebatan pelbagai pihak. Cadangan ini belum dimuktamadkan lagi. 

 

Penjualan aset demi aset ini adakalanya bukan satu petanda yang baik. Apatah lagi jika ia dibuat ketika suasana ekonomi belum lagi pulih akibat pandemik COVID-19, pastinya ia dijual pada harga yang murah. 

 

Hakikatnya, aset-aset ini dijual dalam usaha kerajaan untuk meraih wang tunai bagi melaksanakan pemulihan ekonomi. 

KWSP
Pengeluaran dari Akaun 1 memerlukan KWSP menjual aset-aset mereka bagi memenuhi keperluan pencarum. 

 

Cuma yang menimbulkan kebimbangan apa akan berlaku sekiranya pencarum yang gagal mengeluarkan wang dari KWSP memilih simpanan mereka dalam unit amanah di bawah PNB, atau sebaliknya, atau mungkin pengeluaran kedua-duanya sekali atau menerusi simpanan lain. 

 

Apa yang berlaku kepada ekonomi ketika ini tidak pernah berlaku sebelum ini. Bermula dengan krisis kesihatan dan mungkin bakal berakhir sebagai krisis ekonomi walaupun laporan mengenai vaksin COVID-19 dalam tempoh seminggu dua ini memberi keyakinan ke arah pemulihan pertumbuhan global. 

 

KWSP sendiri telah mula menjual aset-asetnya sejak Mac, yang mana pandemik ini mula memuncak dan kerajaan terpaksa melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang memakan masa hampir 3 bulan. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias menyatakan - "Ini adalah masa yang belum pernah terjadi sebelumnya aset berkualiti tinggi dengan penilaian yang sangat rendah. Apabila lebih banyak wang dikeluarkan dan tidak dapat digunakan, sebagai gantinya adalah kita akan kehilangan peluang."

 

Tanpa melihat kepada situasi yang dialami oleh KWSP, penganalisis berpendapat jualan aset oleh PNB ini yang mula bertiup kencang lebih sebulan lalu, bagaimanapun adalah satu 'tawaran yang baik', apabila Batu Kawan mengenakan tawaran harga mandatori (MGO) pada RM3.10 sesaham dalam usahanya untuk mengekalkan penyenaraian CCM di Bursa Malaysia. 

 

Di bawah PNB, CCM melalui pelbagai inisiatif termasuk pemisahan CCM Duopharma Biotech Berhad daripada CCM pada 2017 yang memberi syarikat tersebut ketangkasan untuk meneruskan strategi pertumbuhannya bagi memastikan kemampanan syarikat di masa depan.

 

Pada Mei lalu, Pengerusi PNB, Tan Sri Zeti Aziz berkata, aset di bawah pengurusan (AUM) PNB melepasi paras RM300 bilion apabila meningkat 4.5% kepada RM312 bilion pada 2019 berbanding RM298.5 bilion pada tahun sebelumnya. 

 

Beliau juga menegaskan, PNB amat menentingkan prestasi syarikat yang menjadi pelaburannya memandangkan ia membolehkan PNB menjana pendapatan dengan efektif dan sama ada terdapat potensi untuk meningkatkan pegangan. 

 

Bagaimanapun, sejauh mana keupayaan PNB tahun ini untuk membayar dividen kepada pemegang unit amanahnya banyak bergantung kepada situasi pandemik COVID-19 ketika ini, perbelanjaan pengguna, pelaksanaan dasar oleh kerajaan dan peningkatan jumlah pengangguran. 

 

Tahun lalu, PNB membuat pembayaran sebanyak RM13.2 bilion, dengan agihan pendapatan terkumpul sebanyak RM200 bilion melibatkan kesemua 14 dana di bawahnya. 

 

Melihat kepada situasi yang berlaku ketika ini, apa yang kita boleh harapkan daripada pembayaran dividen tahun ini? 

 

Baik KWSP mahupun PNB dan juga Lembaga Tabung Haji - yang merupakan simpanan utama rakyat Malaysia, masing-masing tidak terkecuali berdepan dengan saat sukar akibat krisis COVID-19 yang mula tercetus sejak akhir tahun lalu. - DagangNews.com