Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 5 Nov. - Geran dan pinjaman, sokongan pemasaran dan promosi serta peluang pekerjaan adalah tiga keutamaan dalam senarai harapan industri kreatif Malaysia untuk Bajet 2021 yang bakal dibentangkan esok.
Ketiga-tiga harapan itu disuarakan responden dalam tinjauan pendapat oleh MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative) pada bulan Oktober 2020.
Bertajuk "Harapan Peserta Ekonomi Kreatif Malaysia untuk Belanjawan 2021", tinjauan itu mendapat maklum balas daripada 365 pengamal kreatif dan perniagaan mewakili antara salah satu sektor yang paling terkesan akibat wabak pandemik COVID-19, berharap akan mendapat sokongan kerajaan.
Ini terbukti dengan 70% responden memilih geran dan pinjaman kerajaan sebagai keutamaan dalam harapan mereka.
Turut menjadi agenda utama adalah permintaan bantuan untuk pemasaran dan promosi dengan 42.2% serta peluang pekerjaan (39.5%).
Menurut MyCreative, kayu ukur kerajaan yang diklasifikasikan ‘sangat penting’ oleh responden adalah termasuk:
i. Menyertakan sektor kreatif, seni dan budaya sebagai sektor penting dalam Pelan Pemulihan COVID-19 negara (81%)
ii. Memastikan sokongan terhadap organisasi kebudayaan dapat dinikmati artis dan profesional kreatif lain yang bekerja sendiri (80.8%)
iii. Membentuk sektor ekonomi yang lebih mapan untuk membangunkan karier dan perniagaan (80.1%)
Pengerusi MyCreative, Mohd. Naguib Razak (gambar atas) berkata, industri kreatif perlu dirancakkan kembali ketika waktu sukar ini.
“Kelangsungan bakat-bakat baharu dan transformasi atau penyesuaiannya dengan norma baharu juga adalah penting tetapi kami berharap ini dapat dicapai dengan peruntukan kewangan yang berhemah dan mapan.
“Dalam Belanjawan 2021 yang akan datang, MyCreative berharap dan bersedia untuk membantu dalam memberikan penyelesaian kepada isu-isu yang diketengahkan dalam tinjauan pendapat, terutamanya dengan menawarkan latihan, peningkatan kemahiran dan pengembangan kecekapan dan keterampilan yang bernilai selama tempoh pekerjaan atau aktiviti perniagaan mereka yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Berdasarkan kelangsungan ekonomi dan kewangan responden, sebilangan daripada mereka juga berpendapat bahawa kerajaan harus mengambil langkah-langkah memajukan ekonomi kreatif secara mapan supaya dapat memberi manfaat ekonomi dan sosial.
Cadangan lain daripada responden adalah supaya pihak berwajib fokus pada seni dalam pembelajaran untuk mencungkil bakat untuk masa depan ekosistem kreatif. - DagangNews.com