Bajet 2021: Hanya 80 Ahli Parlimen dibenarkan masuk Dewan Rakyat | DagangNews Skip to main content

Bajet 2021: Hanya 80 Ahli Parlimen dibenarkan masuk Dewan Rakyat

 

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Hanya 80 Ahli Parlimen yang dibenarkan untuk memasuki Dewan Rakyat bagi persidangan ketiga termasuk pembentangan Bajet 2021 yang berlangsung esok. 

Perkara itu diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, di mana pemasyhuran dibacakan oleh timbalannya, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Jelas beliau, pecahan pembahagian Ahli Parlimen itu terdiri melibatkan 41 daripada pihak kerajaan dan 39 adalah pembangkang serta Bebas.

"Penentuan Ahli Parlimen yang boleh berada dalam dewan akan ditetapkan oleh parti masing-masing. 

“Setiausaha Dewan Rakyat akan memberikan Kad Khas kepada Yang Berhormat Kota Bharu untuk selaraskan kehadiran di pihak anggota pentadbiran dan ahli 'backbenchers'.

"Di pihak pembangkang, Kad Khas ini akan diberikan kepada Yang Berhormat Sungai Petani untuk kehadiran ahli pembangkang dan Bebas,” baca Mohd. Rashid. 

Katanya, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Penyelarasan Urusan Dewan Rakyat susulan penularan wabak COVID-19, semalam yang turut dihadiri oleh Ketua Whip parti.

Bajet 2021 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz mungkin menjadi belanjawan yang paling mencabar di negara ini. 

Dasar fiskal yang bakal ditentukan esok mungkin menjadi satu-satunya harapan untuk menyuntik semula pemulihan ekonomi negara selepas terjejas akibat penularan COVID-19.

Setakat semalam, Malaysia menyaksikan kes baharu COVID-19 mencecah empat digit iaitu sebanyak 1,032.

Ini menjadikan kumulatif kes mencecah 35,425 dengan jumlah kematian sebanyak 271. - DagangNews.com