BAJET 2021: Peniaga, usahawan dan majikan perlu diutamakan | DagangNews Skip to main content

BAJET 2021: Peniaga, usahawan dan majikan perlu diutamakan

Peniaga

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Berbaki beberapa hari sahaja lagi menjelang tarikh pembentangan Bajet 2021 pada Jumaat ini, pelbagai cadangan dan usul dicadangkan kepada kerajaan termasuklah golongan peniaga, usahawan dan majikan.

Presiden Dewan Perdagangan dan Industri ASEAN (DPIA), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, ketiga-tiga golongan tersebut yang terkesan dengan penularan COVID-19 perlu diberi perhatian dan keutamaan oleh kerajaan.

"DPIA mengambil inisiatif mengemukakan kepada Kementerian Kewangan beberapa cadangan daripada pemain sektor perniagaan yang mempunyai cabaran tersendiri.

“Bantuan itu disifatkan penting bagi menyelamatkan perniagaan atau firma, perniagaan besar, sederhana dan kecil ternyata terkesan dalam keadaan yang tidak menentu ini.

 

Sohaimi Shahadan
Sohaimi Shahadan 

 

“Kerajaan wajar mencari pendekatan dalam membantu sektor perniagaan yang terus terjejas sehingga menyebabkan ramai peniaga terpaksa gulung tikar. Kesan itu akan menyebabkan ramai yang kehilangan kerja," jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Berikut adalah 10 cadangan utama untuk memastikan peningkatan aliran tunai rakyat yang mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi ketika negara berhadapan  krisis pandemik COVID-19;

  1. Moratorium dilanjutkan secara automatik sekurang-kurangnya tiga atau sehingga 6 bulan.
  2. Kebenaran pengeluaran KWSP Akaun 1 sekurang-kurangnya RM5,000.
  3. Menyediakan peruntukkan kepada para graduan menganggur mahupun yang telah diberhentikan kerja.
  4. Peruntukkan perlu disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dan menganjurkan projek berterusan.
  5. Usahawan di Sabah dan Sarawak perlu diberi lebih bantuan kewangan (soft loan) untuk membolehkan mereka mempunyai daya saing dengan rakan usahawan di Semenanjung.
  6. Usahahawan belia dan lepasan universiti diberi modal untuk memulakan perniagaan secara dalam talian dan fizikal.
  7. Melanjutkan bantuan subsidi upah sehingga 2021.
  8. Pembiyaan, Pinjaman atau Geran Khas bagi memudahkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menarik taraf penggunaan pemasaran digital dan pembelian keperluan teknologi maklumat.
  9. Usahawan wanita perlu diberi pinjaman mudah untuk memperkasakan usahawan wanita.
  10. Memudahkan keperluan standard, halal dan kelulusan untuk operasi kilang yang dimiliki perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME).

 

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut berharap agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan dan mendengar suara rakyat yang kian tersepit.

"Kita tidak mahu, akhirnya rakyat terpaksa meminjam wang dengan pihak yang salah dan timbul pula masalah sosial," jelasnya lagi. - DagangNews.com