Bajet 2024: Hentikan masalah rokok seludup, elak kerajaan rugi RM5 bilion | DagangNews Skip to main content

Bajet 2024: Hentikan masalah rokok seludup, elak kerajaan rugi RM5 bilion

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - Kerajaan Madani disaran memperkenalkan langkah inovatif menerusi Bajet 2024 bagi menghentikan masalah rokok seludup dan menyelamatkan negara daripada mengalami kerugian kira-kira RM5 bilion menerusi cukai yang tidak dikutip.

 

Pengarah Urusan Advokasi Perusahaan dan Industri (API), Datuk Fazli Nordin berkata, terdapat beberapa langkah dilakukan dalam Bajet 2021 bagi menangani isu rokok seludup ke negara ini, termasuk larangan pemindahan kapal. 

 

Beliau berkata,walaupun langkah-langkah itu berjaya membuahkan hasil namun banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membasmi masalah itu sepenuhnya dan menghentikan ketirisan besar-besaran dalam ekonomi negara.

 

Katanya, menerusi langkah di dalam Bajet 2021, jelas menunjukkan bahawa pengenalan dasar baharu yang berkesan adalah cara terbaik untuk menangani perdagangan rokok tidak sah. 

 

"Tindakan penguatkuasaan (seperti rampasan dan serbuan) sahaja tidak akan menggerakkan apa-apa. Kerajaan Madani harus mengambil tindakan tegas dengan melaksanakan idea dan langkah untuk menangani permintaan rokok seludup yang murah ini.

 

rokok
Datuk Fazli Nordin

 

"Memandangkan masalah itu kekal sistemik dan berakar umbi, usaha mereka adalah seperti cuba memindahkan gunung menggunakan sudu. Pada Mei 2023 jumlah rokok seludup adalah pada paras 55.3% dan ia menyebabkan kerajaan kerugian kira-kira RM5 bilion dari segi cukai," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Fazli berkata, rokok seludup yang dijual pada harga purata RM6 sebungkus adalah jauh lebih menarik berbanding rokok sah yang dijual pada harga paling rendah RM12 sebungkus. 

 

Katanya, perbezaan harga itu merupakan antara punca utama yang menyebabkan rokok seludup terus menjadi perhatian di Malaysia.

 

"API juga bersetuju dengan komen Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr. Afif Bahardin yang menyatakan bahawa aspirasi kerajaan untuk mengharamkan rokok kepada generasi akan datang menerusi dasar Generasi Penamat Rokok (GEG) akan berakhir dengan kegagalan kerana tahap perdagangan rokok tidak sah hari ini. 

 

“Kita mesti belajar daripada sejarah bahawa dasar larangan hanya akan menguntungkan perdagangan haram, memperkayakan penjenayah dan menyebarkan rasuah di institusi awam kita,” katanya. - DagangNews.com