Bajet Kerajaan Perpaduan 2023 paling awal dibentang Januari 2023 - Rafizi | DagangNews Skip to main content

Bajet Kerajaan Perpaduan 2023 paling awal dibentang Januari 2023 - Rafizi

Mohd Rafizi Ramli

PUTRAJAYA 5 Dis - Menteri Ekonomi yang baharu dilantik Mohd Rafizi Ramli berkata Belanjawan Kerajaan Perpaduan 2023 akan dibentangkan paling awal pada Januari tahun depan.

 

“Kerajaan akan membentangkan bajet emolumen dalam sidang akan datang, dan kemudian Bajet penuh akan dibentangkan mungkin dalam masa satu hingga dua bulan selepas itu,” kata Rafizi pada sidang media ringkas di Menara Prisma, yang menempatkan Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

 

Persidangan Parlimen ke-15 akan dimulakan dengan Dewan Rakat bersidang selama dua hari pada 19 dan 20 Dis untuk pembentangan bajet emolumen, majlis angkat sumpah Ahli Parlimen, pemilihan timbalan Speaker Dewan Rakyat, sebagai serta undi percaya kepada perdana menteri.

 

Sebelum ini, Bajet 2023 dibentangkan pada 7 Okt oleh menteri kewangan ketika itu Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dengan jumlah peruntukan RM372.3 bilion, tetapi Parlimen dibubarkan tiga hari kemudian bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

 

Selepas PRU15, Zafrul kini dilantik sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri, manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil alih portfolio menteri kewangan.

 

Sementara itu, difahamkan EPU yang asalnya sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri, akan dinaikkan sebagai sebuah kementerian.

 

"Proses mewartakan kementerian akan dilakukan dan Perdana Menteri dijangka membuat pengumuman rasmi mengenainya," kata pegawai. - DagangNews.com