Bank-bank teruskan tawaran bantuan kepada peminjam individu, perniagaan | DagangNews Skip to main content

Bank-bank teruskan tawaran bantuan kepada peminjam individu, perniagaan


KUALA LUMPUR 12 Jun - Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) akan terus menawarkan bantuan kepada peminjam individu serta perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19 dan sekatan pergerakan penuh bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilanjutkan hingga 28 Jun depan.

 

Menurut ABM, kesediaan itu adalah selari dengan pakej bantuan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) yang diumumkan kerajaan, baru-baru ini.

 

Katanya, peminjam dari kumpulan M40 dan T20 yang terjejas juga berpeluang memanfaatkan bantuan bayaran balik yang ditawarkan oleh bank anggota ABM.

 

"Bagi yang telah kehilangan pekerjaan pada 2020 atau 2021, mereka boleh memanfaatkan moratorium tiga bulan atau mengurangkan ansuran bulanan sebanyak 50% selama enam bulan.

 

"Bagi yang masih bekerja tetapi pendapatan (pada peringkat isi rumah termasuk pendapatan lain seperti bayaran kerja lebih masa, elaun, bonus dan komisen) telah terjejas, mereka juga dapat mengurangkan ansuran bulanan selama enam bulan. Ini termasuk mereka yang telah diarahkan cuti tanpa gaji atau sebahagian gaji," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Semalam, 14 badan bukan kerajaan (NGO) dan dewan perniagaan yang mewakili 400 persatuan dengan keahlian lebih sejuta perniagaan serta 3.9 juta peniaga individu dan mikro, mendesak kerajaan melaksanakan moratorium bayaran balik pinjaman secara menyeluruh hingga 31 Disember 2021.

 

Wakil kumpulan itu, Datuk Abdul Malik Abdullah, dilaporkan berkata jika moratorium menyeluruh tidak dilaksanakan, lebih ramai rakyat dan perniagaan akan bankrap, sekali gus meningkatkan peratusan golongan B40.

 

ABM berkata, bawah program Bantuan Bayaran Balik Bersasar (TRA) terkini yang diumumkan pada 1 Jun lalu, moratorium tiga bulan atau pengurangan ansuran bulanan sebanyak 50% selama enam bulan boleh dimanfaatkan peminjam B40 yang berdaftar dengan Bantuan Sara Hidup (BSH)/Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) dan peminjam B40, M40 dan T20 yang hilang pekerjaan.

 

Katanya, turut tersenarai ialah syarikat mikro dengan pinjaman kemudahan tidak melebihi RM150,000 serta semua perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

 

Menurut ABM, pengurangan ansuran bulanan selama enam bulan pula boleh dimanfaatkan oleh mana-mana individu sama ada daripada kumpulan B40, M40 dan T20 yang mengalami pengurangan pendapatan, termasuk pendapatan isi rumah.

 

ABM

 

"Semua peminjam yang terjejas (individu, perusahaan mikro dan PKS) yang ingin memanfaatkan TRA terbaru ini, hanya perlu menghubungi bank masing-masing untuk memberitahu pilihan yang mereka mahukan.

 

"Bank akan secara automatik meluluskan semua pilihan oleh peminjam yang memenuhi kriteria.

 

"Peminjam lain yang tidak termasuk dalam mana-mana kategori dinyatakan, juga boleh menghubungi bank masing-masing untuk pertimbangan penstrukturan dan penjadualan semula bagi membantu meringankan beban mereka," katanya.

 

Seterusnya, menurut kenyataan itu lagi, peminjam yang menerima manfaat TRA pada tahun ini tidak perlu bimbang dengan profil kredit mereka.

 

Katanya, ini kerana Bank Negara Malaysia (BNM) sudah mengumumkan bahawa ia tidak menjejaskan rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS).

 

Malah, ABM berkata, proses permohonan sudah diringkaskan dengan tempoh maklum balas disingkatkan demi memastikan peminjam mendapat bantuan itu dengan lebih mudah.

 

"Peminjam boleh merujuk laman web bank masing-masing untuk memilih bantuan pembayaran balik yang diperlukan," katanya.

 

ABM sekali gus mengingatkan semua peminjam supaya berhati-hati dengan sebarang taktik penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab, dan hanya memohon bantuan kewangan melalui saluran rasmi bank.

 

"Peminjam dinasihatkan tidak berurusan dengan pihak ketiga yang mendakwa sebagai ejen atau wakil bank dalam hal berkaitan bantuan pembayaran balik.

 

"Bank yang menjadi ahli kami, tidak melantik atau berurusan dengan pihak ketiga atau ejen untuk tujuan itu," katanya. - DagangNews.com