Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 3 Mei - Institusi perbankan dijangka merekodkan pretasi berdaya mapan tahun ini di sebalik kebimbangan terhadap krisis COVID-19 yang tidak menentu ketika ini.
Ini berdasarkan kepada pertumbuhan pembiayaan setakat akhir Mac 2021 yang berkembang dengan pantas pada kadar 3.9% tahun ke tahun berbanding Februari, 3.7%.
Peningkatan ini disumbangkan menerusi 3 segmen utama iaitu pinjaman gadai janji, kenderaan dan modal kerja yang berkembang 5.5% tahun ke tahun kepada RM1.24 trilion berbanding RM1.23 trilion bagi bulan sebelumnya.
Permohonan pembiayaan juga meningkat 43.9% pada Mac dan ini menyebabkan permintaan pembiayaan akan datang setakat ini lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu.
Ketua Penyelidik MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof berkata, permohonan pembiayaan setakat ini meningkat 12.1% tahun ke tahun kepada RM220.9 bilion berbanding kenaikan 1.4% kepada RM197.1 bilion bagi tempoh sama 2020.
Kebanyakan permohonan ini tertumpu kepada pembelian kenderaan penumpang dan kediaman, yang mana masing-masing berkembang 25.4% tahun ke tahun kepada RM22.5 bilion dan 53.2% kepada RM82.6 bilion.
"Kami berpendapat, ini adalah petunjuk yang baik dengan pertumbuhan pembiayaan tahun ini sekurang-kurangnya dapat menyamai tahun lalu.
"Tambahan pula, tiada sebarang moratorium menyeluruh diberikan tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Firma itu menjangkakan pertumbuhan pembiayaan akan berkembang 5% tahun ini dengan permohonan pembiayaan akan terus meningkat terutama pada separuh kedua 2021.
Di samping pembiayaan pengguna, perniagaan juga akan merangsang pertumbuhan pembiayaan tahun ini dalam usaha mengembangkan aktiviti perniagaan.
"Dalam hal ini, kami kekal optimis terhadap prospek sektor perbankan tahun ini dengan mengambil kira pemulihan ekonomi dan pelancaran vaksin COVID-19.
"Kami juga menjangkakan kos kredit mulai normal manakala pendapatan akan meningkatkan pertumbuhan pembiayaan dan margin faedah bersih (NIM) lebih baik. Malah, perolehan juga dijangka bertambah baik tahun ini," katanya.
Bagaimanapun, menurut Imran Yassin, bank dilihat masih berhati-hati walaupun meluluskan pinjaman yang tinggi.
"Kadar pembiayaan susut kepada 40.6% setakat suku pertama 2021 berbanding 44.1% bagi tempoh sama tahun lalu.
"Ini mungkin disebabkan permohonan pembiayaan yang lebih tinggi berbanding tahun lalu, tetapi bank belum dapat memberi kelulusan dengan cepat," katanya.
Pembiayaan diluluskan pada suku pertama berkembang 3.3% tahun ke tahun kepada RM89.7 bilion berbanding penguncupan 4.3% kepada RM86.9 bilion bagi tempoh sama 2020.
Seperti mana permohonan pembiayaan, kelulusan yang tinggi ini diberikan untuk pembelian kenderaan penumpang yang meningkat 22.7% kepada RM12.7 bilion dan kediaman, meningkat 35.6% kepada RM28.1 bilion.
Selain itu, permohonan yang yang diluluskan bagi pembelian hartanah bukan kediaman juga berkembang 21.1% kepada RM7.5 bilion.
"Sekali lagi ini satu petanda yang positif. Meskipun, bank masih berhati-hati tetapi kami tidak percaya ia berada pada tahap di mana kredit akan disekat dalam sistem," katanya.
MIDF Research bagaimanapun mengekalkan pandangan positif terhadap sektor perbankan tetapi bank perlu menangani beberapa tekanan jangka pendemik.
Kenaikan kes jangkitan di Malaysia sejak akhir-akhir ini mungkin membawa kepada pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP) sekali gus memberi tekanan kepada kualiti aset bank.
"Kami berpendapat, bank secara amnya dapat menempuh situasi ini berdasarkan apa yang dilalui ketika PKP ketat tahun lalu.
"Di samping itu, bank-bank juga telah membina rizab kerugian pinjaman yang besar susulan persekitaran mencabar ini," jelasnya.
Sementara itu, CGS-CIMB berkata, masih terdapat risiko penurunan bagi pertumbuhan pembiayaan bank (daripada 3.9% tahun ke tahun pada akhir Mac 2021) disebabkan lonjakan jangkitan COVID-19.
Penganalisisnya, Winson Ng berkata, situasi semasa pandemik ini akan menyebabkan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan dan memperlahankan sentimen perniagaan dan pengguna.
"Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pembiayaan tahun ini sekitar 2 hingga 3%," katanya.
Firma itu mengulangi saranan 'overweight' terhadap sektor perbankan, disokong oleh jangkaan penurunan peruntukan kerugian pinjaman (LLP) dan pertumbuhan pendapatan faedah bersih tahun ini kembali meningkat.
Penganalisis Kenanga Research, Clement Chua menjangkakan tiada sebarang pengurangan kadar dasar semalaman (OPR) setakat ini dan bank pula akan mengurangkan pendedahan terhadap kos kredit tahun ini.
Ini kerana katanya, prospek ekonomi masih kekal berhati-hati dengan perkembangan semasa COVID-19 yang mana kerajaan terpaksa melaksanakan perintah sekatan bagi mengekang wabak ini.
"Meskipun kami melihat prestasi pada April tidak seburuk yang dialami dalam tempoh Januari hingga Februari, tetapi peningkatan jangkitan akan menyebabkan PKP dilaksanakan semula.
"Oleh itu, kami percaya pemulihan akan kelihatan pada separuh kedua 2021 treutama apabila program vaksinasi semakin meluas," katanya.
Kenanga Research menjangkakan pertumbuhan pembiayaan tahun ini sekitar 4 hingga 5% sejajar dengan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang diunjurkannya berkembang 6.5%. - DagangNews.com