Bank tempatan diunjur catat untung bersih teras antara RM6.5 hingga RM6.6 bilion bagi suku ketiga 2023, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Bank tempatan diunjur catat untung bersih teras antara RM6.5 hingga RM6.6 bilion bagi suku ketiga 2023, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Sept - CGS-CIMB Research menjangkakan keuntungan bersih teras antara RM6.5 bilion hingga RM6.6 bilion pada suku ketiga tahun ini bagi bank tempatan yang mewakili pertumbuhan 1% hingga 4% dari bulan ke bulan dan 7% hingga 9% dari tahun ke tahun.

 

Firma penyelidikan itu berkata, unjuran itu disokong oleh penyambungan semula pertumbuhan pendapatan faedah bersih daripada margin faedah bersih (NIM) yang stabil sekitar 4%.

 

Pihaknya menjangkakan, pendapatan bukan faedah (NOII) pada suku ketiga 2023 bank akan menghampiri paras suku kedua iaitu RM5.43 bilion tetapi dengan pertumbuhan tahun ke tahun yang lebih rendah pada kadar pertengahan satu digit berbanding 47.2% pada suku tahun sebelum ini.

 

"Sementara itu, kami melihat ruang untuk bank mengurangkan jumlah peruntukan kerugian pinjaman (LLP) mereka pada suku ketiga daripada paras RM1.34 bilion  pada suku kedua memandangkan nisbah pinjaman terjejas kasar industri perbankan kekal stabil pada 1.76% pada akhir Jun dan akhir Julai 2023," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bank domestik terselamat daripada penguncupan NIM pada suku kedua walaupun untung teras bank mencatatkan keputusan cemerlang dengang 21.6% pada suku tersebut.

 

Katanya, ia disebabkan ketiadaan Cukai Makmur (CM), lonjakan 47.2% dalam NOII, dan penurunan 13.7% dalam LLP.

 

Bank mengalami satu lagi penguncupan dalam NIM, dengan NIM pada suku kedua susut tiga mata asas dari suku tahun ke suku tahun dan 19 mata asas selepas penguncupan 22 mata asas pada suku kedua.

 

Firma penyelidikan itu mengesahkan penarafan 'overweight' ke atas bank-bank Malaysia, berdasarkan potensi hapus kira separa dalam tindanan pengurusan berjumlah RM6 bilion pada akhir Jun 2023. 

 

Katanya, pengurusan modal oleh beberapa bank yang boleh membawa kepada peningkatan dalam dividen nisbah pembayaran dan pengembangan dalam pulangan ke atas ekuiti (ROE) dalam jangka panjang.

 

"Pilihan utama kami untuk sektor itu ialah RHB Bank berdasarkan penilaian menarik dan hasil dividennya sebanyak 6.5% bagi 2023," katanya. - DagangNews.com