Banyak isu membelenggu FGV - MIDF | DagangNews Skip to main content

Banyak isu membelenggu FGV - MIDF

 


ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 30 Okt. - Masa depan operasi dan perniagaan FGV Holdings Bhd. dilihat tidak menentu dan dibelenggu beberapa isu walaupun syarikat itu dijangka menerima pampasaan penamatan perjanjian pajakan tanah (LLA) antara RM3.5 hingga RM4.3 bilion. 

 

Malah, penganalisis MIDF Research, Khoo Zhen Ye menyifatkan tindakan kerajaan yang menyokong keputusan menamatkan LLA hanya akan menjejaskan kedudukan FGV sebagai salah satu syarikat perladangan terbesar. 

 

Jelasnya, tanpa LLA yang melibatkan kawasan seluas 350,000 hektar, bank tanah FGV akan menyusut sehingga 80% kepada kira-kira 89,000 hektar daripada keseluruhan tanah 439,700 hektar, dengan kebanyakannya adalah kawasan penanaman kelapa sawit. 

 

Difahamkan dengan pengurangan bank tanah FGV itu, ia akan menerima suntikan aset ladang dari Perspective Lane (M) Sdn Bhd (PLSB) menerusi Tradewinds Plantation Bhd (TPB), milik hartawan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. 

 

Namun, Zhen Ye berpendapat, hasrat PLSB yang mahu muncul sebagai pemegang saham tunggal FGV juga akan berdepan rintangan sukar pelbagai pihak. 

 

Beliau berkata, walaupun terdapat kebimbangan mengenai bekalan tandan buah segar (TBS) dan juga pengeluaran minyak sawit mentah kumpulan, kilang sawit milik FGV kebanyakannya terletak berhampiran kawasan LLA. 

 

"Ini membolehkan TBS dibekalkan dari kawasan LLA untuk dijual kepada FGV walaupun mungkin harganya agak tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Menurutnya, ketika ini kumpulan menghasilkan 30% daripada pengeluaran TBS dari kawasan LLA, 46% daripada ladang yang diuruskan Felda dan 24% pula menerusi pihak ketiga. 

 

"Dalam soal ini, kami tidak menolak kemungkinan berlaku gangguan kepada bekalan apabila LLA ditamatkan sekali gus menjejaskan operasi perniagaan dan prestasi kewangan kumpulan," jelasnya. 

 

Namun begitu, katanya, beliau menyedari masih awal untuk menilai impak terhadap keputusan ini kerana ia bergantung kepada hasil daripada fasa rundingan ini nanti.

 

Pada Rabu, Jemaah Menteri bersetuju menamatkan LLA antara Felda dan FGV serta meluluskan cadangan penerbitan sukuk oleh Felda bernilai RM9.9 bilion dengan jaminan kerajaan bagi melaksanakan pelan pemulihan Felda
yang dikemukakan.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kedudukan kewangan Felda dijangka mencatatkan aliran positif bermula 2023 dengan pelaksanaan inisiatif-inisiatif tersebut dan akan kembali ke landasannya sebagai sebuah badan yang berdaya maju.

 

Isu LLA antara Felda dan FGV kembali menjadi 'perbalahan' antara kedua-dua pihak selepas Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh sebelum ini berkata, pendapatan Felda merosot sejak FGV disenaraikan pada 2012. 

 

Beliau dilaporkan berkata, pada 2019, ia hanya merekodkan keuntungan sebanyak RM16.51 juta dan jumlah itu, jauh berbeza daripada yang pernah dicatatkan Felda sebelum itu dengan tertinggi pernah dicapai pada 2011, iaitu RM1.85 bilion.

 

Sebelum ini, keuntungan berbilion ringgit bukan sesuatu yang baharu buat Felda malah sejak 2007, keuntungan operasi ladang Felda semuanya melepasi paras RM1 bilion kecuali pada 2009 yang mencatatkan RM854 juta.

 

Namun, selepas FGV disenaraikan, keuntungan Felda mula jatuh dengan banyak sehinggakan apabila Felda terpaksa berhutang dengan bank dan hingga kini mencecah RM10 bilion.

 

Ini mendorong Felda untuk mengambil semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV menerusi LLA dalam usaha mengukuhkan kembali kedudukan kewangannya.

 

Pada Ogos lalu, FGV berkata, tanpa LLA, operasi kumpulan dijangka jimat sehingga RM1.5 bilion setahun dan boleh memberi aliran tunai yang positif kepada kumpulan. 

 

Zhen Ye berkata, pendapatan FGV mungkin kurang dipengaruhi perubahan nilai saksama dalam liabiliti LLA sekali gus akan memberi kelebihan kepada prestasi kewangan lebih baik. 

 

"Pampasan yang diterima juga dapat meningkatkan dana FGV untuk membuat pelaburan yang lebih strategik dan menjana pendapatan," katanya.

 

Dalam masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya syarat yang tidak menguntungkan untuk FGV atau proses undang-undang yang lama ketika proses berjalan apabila kedua-dua pihak memulakan rundingan.  

 

Selain itu, beliau juga melihat FGV masih lagi berdepan sekatan minyak sawit oleh Amerika Syarikat (AS) disebabkan dakwaan penggunaan buruh yang tidak adil walaupun FGV kini sedang aktif menyelesaikan isu berkenaan.

 

"Nilai eksport itu hanya menyumbang kira-kira 5% kepada jumlah pendapatan syarikat tetapi ia boleh memberi kesan sampingan negatif dalam tempoh jangka masa panjang kumpulan," katanya.  

 

Mengenai asas perniagaan FGV, beliau menjangkakan penggunaan baja secara agresif ketika awal tahun dapat membantu meningkatkan hasil TBS pada masa hadapan dan pengeluaran minyak sawit lebih baik. 

 

"Didorong kenaikan harga minyak sawit dan jangkaan kerugian lebih rendah dari minyak sawit pada separuh kedua 2020, kami menjangkakan kumpulan akan mencatat prestasi lebih baik sejajar dengan pelan transformasinya.  

 

"Bagaimanapun, kami masih berhati-hati dengan ketidaktentuan yang masih menyelubungi kedudukan kumpulan dan model operasi perniagaan pada masa akan datang," katanya. - DagangNews.com