Beberapa negara sedia biaya kos imunisasi pemegang kad UNHCR | DagangNews Skip to main content

Beberapa negara sedia biaya kos imunisasi pemegang kad UNHCR

Pemagang kad UNHCR

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 24 Feb. - Beberapa buah negara menyatakan kesediaan untuk membiayai kos imunisasi kepada pemegang kad pelarian UNHCR yang berada di negara ini.

 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, ia susulan daripada keperluan imunisasi yang perlu diperluas kepada golongan tersebut bagi membendung penularan wabak COVID-19.

 

"Pelan imunisasi ini dijangka akan meliputi 70% daripada populasi dalam negara menjelang 2022.

 

"Imunisasi ini perlu juga diperluas kepada golongan pemegang kad UNHCR bagi memastikan tidak wujudnya kluster COVID-19 dalam kalangan mereka.

 

"Beberapa buah negara telah menyatakan kesediaan untuk membiayai kos imunisasi ini kepada pemegang kad UNHCR," kata beliau dalam satu kenyataan.

 

M. Saravanan
M. Saravanan

 

Perkara tersebut dibincangkan setelah menerima kunjuangan hormat delegasi daripada pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR), semalam.

 

Hingga Disember 2020, terdapat 178,610 orang pelarian dan pemohon suaka yang telah berdaftar dengan pejabat UNHCR di Malaysia.

 

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 154,030 orang adalah daripada Myanmar dengan 102,250 etnik Rohingya dan 22,140 etnik Chin dan etnik-etnik lain.

 

UNHCR juga menganggarkan lebih daripada 20,000 individu masih belum berdaftar dengan badan tersebut.

 

Susulan itu, beliau memberitahu, program imunisasi tersebut memerlukan penglibatan daripada UNHCR bagi tujuan penyebaran maklumat di lapangan selain daripada penyertaan oleh kementerian dan agensi kerajaan.

 

"Pertubuhan masyarakat madani juga boleh memainkan peranan dalam mewujudkan kesedaran dalam kalangan komuniti pemegang kad UNHCR berhubung perkara ini," ujar beliau lagi. - DagangNews.com