Bekas hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid dilantik sebagai pengerusi Bioalpha | DagangNews Skip to main content

Bekas hakim Mahkamah Tinggi Mohd Yazid dilantik sebagai pengerusi Bioalpha

Datuk Mohd Yazid Mustafa
Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 5 Sept - Bekas hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Yazid Mustafa dilantik sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutif Bioalpha Holdings Bhd, berkuat kuasa Isnin.

 

Mohd Yazid sebelum ini berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Tinggi selama lebih 15 tahun, sebelum bersara daripada badan kehakiman pada Disember tahun lepas, menurut makluman syarikat pembuat suplemen kesihatan itu di Bursa Malaysia.

 

“Selepas bersara, Mohd Yazid terus berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Rayuan di Mahkamah Syariah Terengganu,” tambah syarikat itu.

 

Menurutnya, beliau juga menganggotai lembaga pengarah LKL International Bhd sebagai pengerusi bebas dan bukan eksekutif.

 

Sementara itu, Bioalpha juga telah melantik peguam Tan Su Ning sebagai pengarah bebas dan bukan eksekutif, berkuat kuasa Isnin. Beliau juga menganggotai lembaga pengarah LKL International Bhd, serta Jadi Imaging Holdings Bhd.

 

Menurut laporan The Edge, di penghujung kerjaya kehakiman Mohd Yazid, beliau membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang ketika itu bekas timbalan perdana menteri, daripada semua 40 pertuduhan rasuah berhubung dakwaan rasuah yang diterima kerana memudahkan pemberian sistem visa asing (VLN) dan kontrak perkhidmatan sehenti (OSC) di China.

 

Zahid sejak itu telah menghantar surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara berhubung rayuan pihak pendakwaan berhubung kes VLN.

 

Difahamkan, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun masih belum memutuskan perkara itu tetapi tetap dijadualkan untuk meninggalkan jawatan tertinggi pendakwa raya pada 6 September 2023, bagi memberi laluan kepada Peguam Negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh. - DagangNews.com