Bekas Timbalan MD Stone Master diperintah bayar balik RM11.54 juta, penalti sivil RM1 juta – SC | DagangNews Skip to main content

Bekas Timbalan MD Stone Master diperintah bayar balik RM11.54 juta, penalti sivil RM1 juta – SC

Pada 28 September 2016, SC telah memperoleh injunksi interim untuk menghalang Chan daripada berurusan dengan wang dalam akaun bank peribadinya.

KUALA LUMPUR 4 Mac – Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2019 bahawa Datin Chan Chui Mei, bekas timbalan pengarah urusan Stone Master Corporation Bhd telah melanggar undang-undang sekuriti.

 

Keputusan itu disampaikan oleh panel tiga hakim terdiri daripada Hakim Datuk Lee Swee Seng, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Gunalan Muniandy dalam prosiding semalam.

 

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata Mahkamah Rayuan tidak menemukan sebarang kekhilafan dalam keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Chan telah menyebabkan kerugian kepada Stone Master, yang melanggar Seksyen 317A Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 ( CMSA).

 

Oleh itu, Chan diperintahkan membayar balik RM11.54 juta (disgorgement) dan penalti sivil RM1 juta kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC).

 

Semasa perbicaraan, didapati bahawa Stone Master telah membayar beberapa wakil tempatan beberapa syarikat asing deposit tidak boleh dikembalikan berjumlah RM11.59 juta.

 

Bukti menunjukkan bahawa RM11.54 juta daripada deposit itu kemudiannya dipindahkan ke dalam akaun bank peribadi Chan, kata SC.

 

Pada 28 September 2016, SC telah memperoleh injunksi interim untuk menghalang Chan daripada berurusan dengan wang dalam akaun bank peribadinya sehingga nilai RM11.54 juta. - DagangNews.com