BELANJAWAN 2021 : Pengeluaran Akaun 1 KWSP dibenarkan RM500 sebulan  | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021 : Pengeluaran Akaun 1 KWSP dibenarkan RM500 sebulan 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran simpanan Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah sehingga RM6,000 untuk 12 bulan. 

Pengeluaran itu adalah bagi membantu ahli-ahli yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ribu pencarum yang terjejas. 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari serta kemudahan pengeluaran Akaun 1 berkenaan, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan melibatkan RM4 bilion. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 hari ini. 

Sebelum ini, KWSP juga telah memperkenalkan kemudahan pengeluaran i-Lestari pada bulan April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran sebanyak RM500 sebulan, selama 12 bulan dengan jumlah keseluruhan sehingga RM6,000. 

Skim itu telah memanfaatkan 4.7 juta ahli dengan nilai RM11.6 bilion. - DagangNews.com