Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 6 Nov. - Sebagai menghargai jasa dan bakti anggota perkhidmatan awam, kerajaan mengumumkan Bantuan Khas Kewangan untuk penjawat awam Gred 56 dan ke bawah serta pesara kerajaan dan veteran tidak berpencen..
Penjawat awam Gred 56 dan ke bawah bakal menerima RM600, manakala pesara dan veteran tidak berpencen pula bakal menerima RM300.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kedua-dua bantuan itu akan dibayar pada awal 2021.
“Selanjutnya, bagi menghargai keringat kepahlawan dan bakti pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan Negara, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pemberian ‘one-off’ sebanyak RM500 kepada 40,000 penerima,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi menambah baik kemudahan anggota perkhidmatan awam, kerajaan juga bakal melaksanakan inisiatif berikut:
Pertama: Menaikkan kadar elaun RM6 kepada RM8 sejam untuk lebih 1,900 Pegawai Bomba Bantuan mulai 2021
Kedua: Memperkenalkan Skim Perlindungan Kemalangan Diri percuma sehingga RM100,000 kepada peminjam baharu Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam bagi tahun 2021 dan 2022. - DagangNews.com