BELANJAWAN 2021 : Peruntukan mencecah RM330 bilion? | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021 : Peruntukan mencecah RM330 bilion?

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Berdebar-debar menanti pembentangan Belanjawan 2021 tepat pukul 4 petang ini, yang bakal menentukan dasar fiskal serta keberkesanan pemulihan ekonomi negara. 

Kebanyakan nota kajian firma penyelidik tidak menolak kemungkinan belanjawan yang bakal diperuntukkan nanti menyaksikan pengembangan fiskal lebih tinggi, memandangkan negara tidak terlepas daripada impak COVID-19. 

Belanjawan 2021 dijangka melibatkan peruntukan bernilai RM330 bilion, iaitu 10% lebih tinggi daripada tahun lalu, RM297 bilion. 

Rakan Urusan, Ekonomi dan Polisi PwC Malaysia, Patrick Tay percaya Belanjawan 2021 kali ini ‘direka’ untuk memelihara rangsangan fiskal bagi membantu Malaysia kembali ke landasan pertumbuhan positif. 

“Bersama-sama rangsangan monetari oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kami menjangkakan Malaysia akan mencapai pertumbuhan sederhana memasuki tahun 2021.

“Ini bukan sesuatu yang sukar - belanjawan COVID-19 yang wajar memerlukan masa untuk menangani isu kehidupan dan mata pencarian rakyat,” kata Tay menurut Bernama. 

Baca : Bajet 2021 : ‘Mata tertancap’ pada Muhyiddin

Baca : BELANJAWAN 2021: Skim jaminan pekerjaan jadi keperluan

Jelas beliau, bergantung kepada nilai hasil yang jatuh dalam jangkaan kutipan oleh kerajaan pada tahun 2021, ini mungkin menyumbang kepada defisit signifikan yang diramalkan ketika ini iaitu 6% kepada kira-kira 7% hingga 8%.

Memandangkan vaksin COVID-19 dijangka tersedia pada tahun hadapan, sehubungan itu, bajet 2021 kali ini dijangka meletakkan peruntukan tinggi dalam sektor penjagaan kesihatan. 

“Dari segi pendapatan, kami fikir bantuan kerajaan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta rakyat akan berterusan. 

“Dalam aspek politik, bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya bajet kali ini meletakkan peruntukan khas untuk menyokong Sabah menentang COVID-19 termasuk Sarawak serta kawasan luar bandar di utara dan pantai timur,” tambah Tay. 

Selepas rangsangan monetari oleh BNM iaitu kadar dasar semalaman (OPR) dikekalkan 1.75%, Belanjawan 2021 menjadi satu-satunya harapan kepada suntikan fiskal ekonomi negara. 

Bajet 2021 juga dianggap bukan sebuah peruntukan untuk meraih undi rakyat, memandangkan belanjawan itu turut mengambil kira pandangan dan cadangan daripada pihak pembangkang. - DagangNews.com