BELANJAWAN 2021: Peruntukan terbesar dalam sejarah, RM322.5 bilion  | DagangNews Skip to main content

BELANJAWAN 2021: Peruntukan terbesar dalam sejarah, RM322.5 bilion 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Nov. - Belanjawan 2021 yang merupakan peringkat kelima dalam strategi 6R iaitu ‘Revitalize’ atau memperkasa, dirangka berdasarkan Tiga Matlamat Induk.

 

Tiga matlamat induk itu adalah kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

 

Sehubungan itu, Belanjawan 2021 kali ini menyaksikan peruntukan terbesar dalam sejarah sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Berdasarkan laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan hari ini, daripada jumlah itu, RM236.5 billion (73.3%) akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus (OE) dan RM69 billion atau 21.4% bagi perbelanjaan pembangunan (DE) manakala baki RM17 bilion ialah untuk Kumpulan Wang COVID-19.

 

Selain daripada pendekatan yang lebih bersasar, kerajaan juga akan mengimbangi kemampanan kewangan kerajaan, keseimbangan pembangunan antara wilayah dan bandar, serta mengangkat nilai-nilai murni membentuk ekonomi diidamkan melalui belanjawan berkenaan. 

 

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kesemua matlamat itu merupakan kesinambungan kepada pakej Prihatin, Prihatin PKS tambahan, Penjana dan Kita Prihatin. 

 

“Matlamat pertama iaitu kesejahteraan rakyat akan dimanifestasikan secara holistik. 

 

“Memahami permasalahan dan keresahan rakyat ialah perkara asas. Kesejahteraan rakyat kekal kepentingan paling utama,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini. - DagangNews.com