Belian asing bagi ekuiti Malaysia naik 36% kepada RM615.5 juta minggu lepas | DagangNews Skip to main content

Belian asing bagi ekuiti Malaysia naik 36% kepada RM615.5 juta minggu lepas

Sehingga kini, pelabur antarabangsa adalah pembeli bersih untuk 22 daripada 33 minggu 2022. - Gambar DagangNews.com
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 22 Ogos - Belian asing bagi ekuiti Malaysia meningkat 36% minggu ke minggu kepada RM615.5 juta bagi minggu berakhir 19 Ogos, daripada RM451.69 juta minggu sebelumnya.

 

Dalam laporan aliran dana mingguannya hari ini, firma MIDF Research berkata, minggu lepas menyaksikan aktiviti belian bersih oleh warga asing bagi setiap hari dagangan.

 

Menurut firma itu, jumlah aliran masuk bersih yang direkodkan ialah RM120.4 juta pada Isnin lepas, RM163.9 juta Selasa lepas, RM153.3 juta Rabu lepas, dan RM132.7 juta Khamis lepas.

 

Jumaat lepas juga merupakan hari belian bersih, walaupun pada kadar lebih rendah RM45.2 juta.

 

“Institusi tempatan terus menjadi penjual bersih setiap hari minggu lepas, dengan jumlah aliran keluar mingguan bersih sebanyak RM675.9 juta.

 

“Selasa lalu menyaksikan aliran keluar wang bersih tertinggi sebanyak RM193.1 juta. Untuk makluman, institusi tempatan telah menjadi penjual bersih selama 13 hari berturut-turut sejak minggu berakhir 3 Ogos,” katanya.

 

MIDF berkata peruncit tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut, dengan jumlah aliran masuk bersih RM60.4 juta.

 

“Mereka adalah pembeli bersih pada Isnin hingga Rabu lalu, tetapi menjadi penjual bersih pada Khamis dan Jumaat lalu.

 

“Sehingga kini, pelabur antarabangsa adalah pembeli bersih untuk 22 daripada 33 minggu 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih RM7.72 bilion,” katanya.

 

MIDF berkata institusi tempatan adalah penjual bersih selama 26 daripada 33 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih RM9.48 bilion.

 

Ia berkata peruncit tempatan adalah pembeli bersih untuk 21 daripada 33 minggu 2022.

 

“Setakat ini, mereka telah beli bersih RM1.76 bilion.

 

"Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata nilai dagangan harian di kalangan semua kelas pelabur, dengan pelabur runcit pada 21.3%, pelabur institusi pada 20.7%, dan pelabur asing pada 11.7%," katanya.

 

Mengenai pasaran antarabangsa, MIDF berkata S&P 500 rugi 1.2% untuk berakhir pada 4,228.48 minggu lepas, Dow Jones turun sedikit sebanyak 0.2%, selepas ditutup pada 33,706.74, manakala Nasdaq, yang berakhir pada 12,705.21, menyaksikan penurunan mingguan sebanyak 0.2% .

 

“Daripada 16 indeks utama yang kami jejaki, 7 berada dalam wilayah positif, manakala baki sembilan mencatatkan kerugian mingguan.

 

"Antara pendahulu terbesar ialah PSEi Filipina, yang menambah 2.5%, diikuti oleh Nikkei Jepun, yang memperoleh 1.3%, dan TAIEX Taiwan sebanyak 0.8%," katanya. - DagangNews.com