KUALA LUMPUR 6 Ogos - Syarikat di bawah portfolio airasia Digital dan teknologi kewangan terkemuka di Asia Tenggara, BigPay meraih dana sehingga AS$100 juta menerusi konglomerat Korea Selatan, SK Group.
Ditubuhkan pada 2017, BigPay kini mempunyai perkhidmatan di Malaysia dan Singapura.
SK Group pula adalah konglomerat ketiga terbesar di Korea Selatan mengikut saiz aset dan beroperasi di lebih dari 40 buah negara di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama BigPay, Salim Dhanani berkata, dana tersebut membolehkan syarikat mengembangkan tawaran, produk dan skala perniagaan sejajar dengan misi untuk menjadi bank pencabar digital terunggul di Asia Tenggara.
"Di Malaysia, kami dikenali sebagai salah satu penyedia perkhidmatan perbankan digital dan kami ingin terus memperluas rangkaian produk kami ke pasaran baharu lain.
"Sebelum melancarkan perkhidmatan ke Thailand dan seterusnya ke ASEAN, kami akan melancarkan beberapa produk utama seperti pinjaman peribadi digital sepenuhnya, pinjaman transaksi dan tawaran untuk membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Buat masa ini, perkhidmatan yang ditawar termasuklah kad debit prabayar yang boleh digunakan di mana-mana sahaja yang menerima pedagang Visa atau Mastercard, pemindahan wang tempatan dan antarabangsa, insurans mikro, pembayaran bil dan ciri penganggaran kewangan.
BigPay juga telah melancarkan rangkaian produk untuk penggunanya yang fokus kepada kesihatan kewangan dan aksesibiliti jangka panjang.
Dana daripada salah sebuah konglomerat dan syarikat teknologi terbesar di Korea Selatan ini memperkukuh usaha digital airasia yang kini semakin pesat membangun perniagaan digitalnya, termasuk perkhidmatan logistik dan kewangan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, ia adalah dana pertama untuk syarikat di bawah portfolio digital airasia.
"SK Group adalah sebuah syarikat yang menerajui inovasi dan mempunyai pengalaman yang luas, jadi kami yakin mereka dapat berkongsi kepakaran dan pengetahuan mereka seterusnya menjadikan pelaburan ini sebagai satu permulaan era perbankan digital baharu," katanya.
Pengumuman ini dibuat beberapa minggu setelah BigPay mengumumkan permohonan lesen perbankan digital dalam meneruskan komitmen mereka untuk membina masa depan kewangan yang lebih baik untuk pengguna dan usahawan di Malaysia. - DagangNews.com