KUALA LUMPUR 7 Sept - BIMB Securities kekal optimis Reservoir Link Energy Berhad akan kembali mencatatkan keuntungan pada 2HFY22 disokong oleh pemulihan dalam segmen minyak dan gas serta tenaga solar.
Firma itu berkata, sambungan kontrak perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang diberikan Suruhanjaya Tenaga akan menghidupkan semula pelaksanaan projek skim solar 4 berskala besar (LSS4).
"Kami percaya ia akan memberi manfaat kepada RL Founder Energy sebagai subkontraktor tempatan terbesar kepada syarikat pemaju tenaga solar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, kumpulan itu juga merancang untuk mengembangkan portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) merangkumi aset tenaga solar dan tenaga hidro kepada 1,000MW menjelang 2025.
Katanya, ketika ini, syarikat kerjasama (RL Sunseap Energy Sdn. Bhd.) sedang memuktamadkan perjanjian PPA 10MW dengan Osram Opto Semiconductors dan PE Land di Pulau Pinang.
"Berdasarkan perjanjian PPA itu, kumpulan itu akan mengiktiraf hasil pembinaan daripada projek tersebut kerana skop kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) berkemungkinan diberikan kepadanya.
"Ia merangkumi projek PPA masa depan syarikat kerjasama itu," katanya.
Firma itu berkata, dalam usaha memastikan perniagaan mereka kekal stabil, kumpulan itu baru-baru ini memeterai perjanjian persefahaman dengan rakan kongsi Amerika Syarikat (AS) bagi menyediakan penyelesaian penyimpanan tenaga di Malaysia, Singapura dan Indonesia.
"Bagaimanapun, pihak pengurusan memberi mengingatkan bahawa ia mungkin tidak menyumbang kepada pendapatan dalam masa terdekat kerana model komersial penyelesaian itu belum lagi tersedia," katanya.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan haga sasaran 52 sen. - DagangNews.com