BIMB Securities positif terhadap prospek Dancomech Holdings bagi 2022 dan 2023 | DagangNews Skip to main content

BIMB Securities positif terhadap prospek Dancomech Holdings bagi 2022 dan 2023

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Dis - BIMB Securities Research positif terhadap prospek Dancomech Holdings Berhad bagi 2022 dan 2023 didorong unjuran perniagaan yang lebih baik bagi segmen dagangan dan acuan logam. 

 

Firma itu berkata, bagaimanapun perkembangan kumpulan itu akan berada pada tahap sederhana selepas mengambil kira kelembapan ekonomi kesan daripada tekanan inflasi, gangguan rantainan bekalan makanan, ketegangan geopolitik dan persaingan sengit.

 

Katanya, perkembangan perniagaan acran logam bagi 2023 juga dijangka sederhana dengan tempahan tertunggak akan diselesaikan sebelum akhir 2022.

 

"Dancomech telah mendapat tempahan daripada pelanggannya untuk produk pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (HVAC) baharu pada margin yang lebih tinggi untuk 2023.

 

"Sementara itu, perniagaan perdagangan dijangka meningkat sedikit pada 2023 kerana Dancomech bersedia untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan baharu (dalam dan luar negara) walaupun persaingan sengit daripada pemain industri yang akan memberi tekanan kepada margin," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu meyemak naik unjuran pendapatan kumpulan itu antara 11% hingga 19%.

 

Pada masa sama, firma itu turut menaikkan unjuran pendapatan dan andaian margin keuntungan bagi kesemua segmen perniagaan kumpulan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' untuk kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) 44 sen lebih tinggi berbanding 37 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com