Bintai Kinden meterai perjanjian bagi pemasangan infrastruktur telekomunikasi di pusat penjagaan kesihatan | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden meterai perjanjian bagi pemasangan infrastruktur telekomunikasi di pusat penjagaan kesihatan

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 Nov - Bintai Kinden Corporation Berhad menandatangani perjanjian untuk penjualan, pemasaran dan pemasangan perkhidmatan telekomunikasi ke pusat penjagaan kesihatan dan pusat perubatan berkaitan.

 

Penyedia perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan elektrik itu berkata, anak syarikat milik penuhnya Johnson Medical International Sdn. Bhd. (JMI) telah menjalinkan usaha niaga strategik bersama MN Permai Netcom Sdn Bhd (MNP).

 

JMI memiliki pengkhususan dalam penyelesaian penjagaan kesihatan dan sistem sokongan perubatan manakala MNP merupakan penyedia penyelesaian telekomunikasi meliputi gentian pintar ke rumah, penyelesaian awan pintar, jalur lebar, 4G/5G, tiang pintar dan penyelesaian awan perniagaan.

 

Menerusi perjanjian itu, JMI akan memasarkan perkhidmatan telekomunikasi kepada Kementerian Kesihatan atau mana-mana hospital swasta yang disediakan oleh MNP, yang akan terlibat dalam penjualan serta pemasangan perkhidmatan itu.

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, JMI mempunyai rangkaian hospital yang besar dan memahami keperluan mereka. 

 

bintai
Azri Azerai

 

“Perkhidmatan telekomunikasi yang ditawarkan oleh MNP membolehkan kelajuan pemindahan data yang lebih pantas serta prestasi aplikasi, penstriman video yang lebih pantas, mengurangkan penimbalan, meningkatkan keupayaan pemindahan data dan meningkatkan interaktiviti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Pengarah Urusan MNP, Malik Faizal Bakar berkata, syarikat itu mempunyai kepakaran dalam menguruskan projek infrastruktur telekpmunikasi besar kerana mereka memperoleh projek gentian optik sepanjang 120km di Pulau Pinang.

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan JMI untuk menyediakan infrastruktur dan perkhidmatan telekomunikasi kepada hospital.

 

"Sejak penubuhan kami pada 2014, kami telah berkembang menjadi penyedia perkhidmatan yang komprehensif daripada perancangan, pembinaan dan pengendalian rangkaian termasuk penyelesaian dalaman serta luaran selain sokongan teknikal," katanya. - DagangNews.com