Bintai Kinden, Scientillence meterai kerjasama perluas perniagaan hemodialisis  | DagangNews Skip to main content

Bintai Kinden, Scientillence meterai kerjasama perluas perniagaan hemodialisis 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 2 Sept. - Bintai Kinden Corporation Berhad menerusi anak syarikatnya, Bintai Healthcare Sdn Bhd (Bintai Healthcare) telah memeterai kerjasama dengan Scientillence Sdn Bhd melibatkan perniagaan hemodialisis di Malaysia dan Asia Tenggara. 

 

Kerjasama itu dimuktamadkan menerusi Perjanjian Kolaborasi Perniagaan untuk bersama-sama membangunkan dan memasarkan produk perubatan di pasaran hemodialisis, selain membangunkan, melabur, mengambil alih atau memiliki pusat dialisis. 

 

Pengarah Eksekutif Bintai Kinden, Azri Azerai berkata, kerjasama antara Bintai Healthcare dan Scientillence akan memudahkan kumpulan untuk menembusi pasaran hemodialisis sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan untuk meluaskan rangkaian produk dan perkhidmatan termasuk pengedaran peranti perubatan dan penyelesaian penjagaan kesihatan di Malaysia. 

 

“Berhubung perjanjian itu, kedua-dua Bintai Healthcare dan Scientillence akan bekerjasama untuk meneroka dan mengenal pasti pasaran baharu yang sesuai untuk ditembusi dan mengedarkan produk Scientillence dan produk lain ke dalam sektor swasta dan komersial seperti pertubuhan bukan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebagai rekod, Scientillence dimiliki oleh bekas Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengerusi kumpulan hospital Pantai Holdings Berhad, Tan Sri Lim Tong Yong yang merupakan pengeluar tunggal buah pinggang buatan atau pendialisis di Malaysia serta Asia Tenggara. 

 

Buat masa ini, produk Scientillence telah dieksport, terutamanya ke China, India, Pakistan, Bangladesh, Arab Saudi, Turki, Lubnan dan kebanyakan negara di Asia Tenggara. 

 

Scientillence akan menyediakan semua sokongan teknikal dan perkhidmatan yang diperlukan berhubung pemasaran dan penjualan produk hemodialisis. - DagangNews.com