SHAH ALAM 21 Ogos - Nama BlackBerry sangat popular suatu masa dahulu, sebelum kedatangan Android dan iPhone. Papankekunci fizikal pada telefon pintar menjadikan ia peranti sembang yang sangat diminati ramai, tetapi menjadi pudar selepas skrin penuh menjadi pilihan utama selepas itu.
Selepas tamat perjanjian dengan TCL Communications bagi menghasilkan telefon pintar awal tahun ini, tiada lagi peranti baharu BlackBerry diperkenal.
Bagaimanapun, BlackBerry kini telah memeterai perjanjian baharu dengan Onwardmobility dan FIH Mobile (anak syarikat Foxconn), di mana mereka mendapat lesen untuk mereka, mencipta dan menghasilkan peranti 5G menggunakan jenama BlackBerry, lapor portal teknologi Soya Cincau.
Antara maklumat lain yang diberitahu menyatakan, peranti BlackBerry baru dengan papan kekunci fizikal, akan datang pada pertengahan pertama tahun 2021, bermula dengan pasaran Eropah dan Amerika Utara.
Ketua Pegawai Eksekutif Onwardmobility, Peter Franklin berkata, profesional perniagaan sangat memerlukan peranti 5G dengan keselamatan tinggi dan membantu produktiviti, di samping tidak mengorbankan pengalaman penggunaan.
Menurutnya, BlackBerry memang terkenal dalam melindungi komunikasi, privasi dan data. Ini peluang terbaik bagi Onwardmobility bekerjasama dengan BlackBerry dan FIH Mobile untuk memperkenalkan peranti 5G akan datang ke pasaran.
Dalam perjanjian tersebut, FIH Mobile akan mereka dan menghasilkan peranti tersebut. Manakala Onwardmobility akan menguruskan perancangan produk dan pemasaran.
Adakah peranti dengan kekunci fizikal masih ada tempat di pasaran masa kini? Kita tunggu pelancarannya tahun hadapan. - DagangNews.com