KUALA LUMPUR 18 Okt - Barisan Nasional (BN) sedia berbincang dengan parti lain, termasuk PAS jika tiada parti yang dapat membentuk kerajaan, selepas Piihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan mengenai kerjasama atau gabungan dengan parti lain akan diputuskan selepas pilihan raya.
Pada masa ini, Perdana Menteri berkata, BN dan UMNO perlu melalui proses pilihan raya dan menunggu keputusannya, lapor Berita Harian.
"Kita tunggu keputusan. Jadi, kita kena bagi laluan dulu. Bagi kita 'cross the bridge' dulu. Jangan kita buat andaian. Susah nanti sebab kita tidak tahu apa yang berlaku.
"Selepas keputusan, insya-Allah kita akan buat apa saja keputusan yang memastikan kerajaan yang dibentuk stabil. Selepas itu (kerjasama dengan PAS) akan kita putuskan," katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai kemungkinan BN dan UMNO bekerjasama dengan PAS selepas pilihan raya, bagi membentuk kerajaan.
Sebelum ini, PAS mengumumkan memilih Perikatan Nasional (PN) sebagai sekutu dalam menghadapi PRU15 dan menyatakan keputusan itu dibuat atas prinsip penyatuan ummah. BN menyasarkan 112 kerusi untuk menjadi kerajaan yang berkuasa penuh selepas PRU15.
Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, selepas pilihan raya, lebih baik untuk membuat apa saja keputusan, demi kepentingan negara.
"Apa yang pentingnya, kita mahukan sebuah kerajaan yang stabil, selepas itu kita akan putuskan," katanya.
Ditanya mengenai pembahagian kerusi, katanya perkara itu akan dimuktamad dalam waktu terdekat.
Katanya, pada masa ini BN akan mempertimbang semua perkara, termasuk calon daripada parti Friends of BN.
"Semua akan dipertimbang dan keputusan akan dibuat secara musyawarah seperti biasa seperti sebelum ini. Lagi pun parti komponen tidak banyak sekarang hanya ada empat UMNO, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). Lebih mudah (pembahagian kerusi)," katanya.
Beliau menjelaskan selepas pembahagian kerusi, parti akan menilai calon dan perkara itu akan dipercepat kerana tarikh penamaan calon akan diumumkan tidak lama lagi.
"Saya yakin ini semua perlu disegera dan kita sudah dapat senarai calon UMNO Negeri dan dari segi pemutus itu Top 5 akan putuskan. Seperti kata Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) kita gunakan konsep WALI iaitu winnable' (boleh menang), 'acceptable'(diterima) serta 'likeable' (disenangi)," katanya.
Mengulas mengenai dakwaan ada arahan kepada UMNO bahagian supaya menyokong usul mencalonkan beliau sebagai calon Perdana Menteri, Ismail Sabri menyatakan tiada arahan atau tekanan untuk UMNO Bahagian berbuat demikian.
"Bahagian bebas membuat usul dan saya berterima kasih kepada 152 bahagian yang menyokong saya sebagai calon Perdana Menteri selepas PRU-15. Itu adalah pilihan masing-masing selaras keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
"Ini (pencalonan sebagai PM) ini juga seperti diumumkan presiden dalam mesyuarat UMNO Luar Biasa yang mencalonkan saya sebagai calon PM. Apa yang diputuskan bahagian ini mengikut apa yang MKT dan Presiden putuskan dan ini hanya satu penekanan sebagai sokongan kepada saya dan tiada tekanan sesiapa," katanya. - DagangNews.com