Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 8 Sept. - Rata-rata penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% menjelang perjumpaan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), esok.
Ini termasuk Kenanga Research yang percaya OPR akan dikekalkan bagi sepanjang tahun 2021 untuk memastikan dasar monetari kekal akomodatif.
“Seperti dinyatakan oleh BNM sebelum ini, penetapan dasar monetari akan terus akomodatif pada masa akan datang untuk memberi sokongan kepada ekonomi dan memastikan bahawa tekanan harga masih terkawal.
“Memandangkan lebih banyak negeri beralih ke Fasa 2 dan 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kami menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR menjelang perjumpaan 9 September.
“Melangkah ke hadapan, ekoran ketidaktentuan pandemik semasa, prospek dasar monetari akan terus bergantung kepada situasi COVID-19 domestik dan perkembangan PPN,” jelas firma itu dalam satu nota kajian.
Sebelum ini, Ahli Ekonomi di OCBC Bank, Wellian Wiranto dilaporkan menyaran BNM untuk menurunkan OPR sebanyak 25 mata asas (bps) lagi bagi memastikan pemulihan ekonomi memasuki suku keempat 2021 (4Q21) dan tahun hadapan berjalan lancar.
Ujar beliau, dasar monetari yang bersesuaian mampu memberi sokongan ketika ruangan fiskal negara mulai meruncing.
Baca : BNM disaran turunkan OPR 25 bps lagi, lancarkan pemulihan ekonomi - OCBC
Sementara itu, hasil kaji selidik yang dilakukan oleh Reuters mendapati 22 ahli ekonomi menjangkakan BNM akan mengekalkan OPR pada 1.75%.
Reuters melaporkan bahawa unjuran itu dibuat setelah mengambil kira langkah Malaysia yang secara beransur-ansur membuka semula ekonomi ketika usaha vaksinasi negara dipergiatkan.
Walaupun keputusan Malaysia untuk menyemak turun prospek pertumbuhan ekonomi 2021 telah mencetuskan spekulasi bahawa BNM akan menurunkan lagi OPR, namun penganalisis percaya kadar vaksinasi yang kian meningkat dan permintaan luaran kukuh akan menyokong pemulihan negara.
Kali terakhir BNM membuat keputusan untuk menurunkan OPR adalah pada Julai 2020, yang menyaksikan pemotongan 25 bps kepada 1.75%, dan masih dikekalkan setakat Julai 2021.
Ekonomi Malaysia pula berkembang dengan lebih pantas pada 2Q21, meningkat 16.1% dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com