BNM tambah baik dasar banteras penipuan kewangan | DagangNews Skip to main content

BNM tambah baik dasar banteras penipuan kewangan

Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour ketika berucap pada Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) ke-13 , hari ini.

KUALA LUMPUR 3 Okt - Bank Negara Malaysia (BNM) sedang menilai beberapa penambahbaikan dasar tambahan bagi mengendalikan penipuan atau 'scam' kewangan.

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour berkata, ia termasuk mengukuhkan keperluan bagi institusi kewangan untuk menjalankan penyiasatan yang lebih mantap, menerima pakai kawalan pencegahan yang lebih kukuh, dan menyemak keberkesanan mekanisme itu.

 

Katanya, pihaknya juga merancang untuk memberikan kejelasan tanggungjawab pelanggan dalam melindungi diri dan hak mereka jika menjadi mangsa penipuan.

 

"Bank pusat akan berhubung dengan industri dalam beberapa bulan akan datang sebelum memuktamadkan dasar ini," katanya pada pada Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) ke-13 hari ini, lapor Berita Harian.

 

Persidangan itu adalah anjuran bersama Asian Institute of Chartered Bankers (AICB) dan Compliance Officers' Networking Group (CONG), serta disokong oleh BNM, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan.

 

BNM
Datuk Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour (empat dari kanan) selepas berucap Persidangan Antarabangsa Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan (IFCTF) ke-13, hari ini.

 

Abdul Rasheed berkata, BNM juga secara aktif bekerjasama dengan PayNet dan industri kewangan untuk melancarkan Portal Fraud Kebangsaan (NFP) menjelang pertengahan tahun depan bagi membawa Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) ke peringkat seterusnya.

 

Beliau berkata, sejak permulaan operasi, NSRC menerima lebih 19,000 laporan mengenai kes penipuan, yang menyebabkan pembekuan lebih RM60 juta dan mengenal pasti 43,000 pemegang akaun keldai.

 

"Sukacita dimaklumkan bahawa usaha sedang dijalankan untuk membawa NSRC ke peringkat seterusnya," katanya.

 

Mengenai pencapaian dalam memerangi penipuan secara dalam talian di negara ini, Abdul Rasheed berkata, sebanyak 58% pengurangan dilihat dalam transaksi perbankan dalam talian tanpa kebenaran yang dilaporkan kepada NSRC dalam tempoh lima bulan lalu.

 

Beliau berkata, ia adalah hasil daripada lima langkah utama yang dilaksanakan tahun lalu termasuk mengehadkan aplikasi pengesahan kepada peranti tunggal dan pengenalan 'kill switch' kepada pengguna.

 

"Tanda-tanda awal ini sangat menggalakkan, dan saya percaya kita akan melihat pengurangan selanjutnya pada masa hadapan.

 

"Lagipun, menjadi mangsa penipuan kewangan sudah pasti sukar bagi mereka yang terjejas, dengan sesetengah mangsa kehilangan seluruh simpanan mereka dan bergelut untuk mendapatkan semula kedudukan ekonomi mereka," katanya.

 

Pada persidangan itu, Abdul Rasheed turut melancarkan semula kempen kesedaran #JanganKenaScam anjuran Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM).

 

Kempen kesedaran penipuan di peringkat kebangsaan itu membuktikan komitmen industri perbankan untuk memerangi penipuan kewangan dengan memupuk kerjasama dan mengukuhkan usaha mencegah aktiviti perbankan yang palsu dengan membawa satu mesej yang berkesan mengenai penipuan.
 - DagangNews.com