Bodek dan 10 lagi perkara dibenci mengenai rakan sepejabat | DagangNews Skip to main content

Bodek dan 10 lagi perkara dibenci mengenai rakan sepejabat

MERREPAK OLEH JOHARDY IBRAHIM

 

 

BAGI anda yang baru memasuki alam pekerjaan, kita ucapkan tahniah dan selamat maju jaya. Sila bekerja dengan tekun, amanah dan kalau boleh, lama sikit, bukan tak sampai setahun kemudian melompat tempat lain.



Bagi anda yang sudah bekerja pula, juga kita doakan supaya bekerja dengan tekun, amanah dan cekap. Nak tiru perangai generasi muda sekarang berpindah kerja setiap tahun pun tiada siapa berhak melarang.



Tambah-tambah lagi jika tempat baru menawarkan gaji lebih tinggi. Cuma zaman pandemik COVID-19 ini, kerja juga tidak mudah dicari. `Cobalah untuk setia’, kata Krisdiyanti.



Sementelahan setia itu, terdapat 11 ciri-ciri negatif yang kita sebagai warga kerja harus insaf dan mengerti bahawa rakan sekerja anda mungkin tidak suka sikap kita.



Berikut adalah 11 hal yang paling anda tidak suka mengenai rakan sekerja anda:

 

1.  Bodek

Insan ini digambarkan sebagai `PR dengan bos cukup hebat tetapi kerja dia dibuat rakan sepejabat lain’, `kipas bos sekuat pendingin hawa berkuasa 3.0 kuasa kuda’, `pura-pura sibuk bila bos lalu, main Facebook bila bos tiada’.
 

01

Jika anda memiliki ciri-ciri disebut di atas, ramai akan menjangkakan anda tidak lama lagi dilantik sebagai ketua unit dan pada masa sama, rakan-rakan anda minta dipindahkan ke jabatan lain atau berhenti kerja sama sekali.



2. Ronaldoisme

Ia merujuk pemain bola sepak tersohor dunia, Cristiano Ronaldo yang menganggap tanpa dirinya, pasukan Real Madrid dan Portugal tidak akan berjaya tanpa dirinya. Berdasarkan rekod, ada kebenarannya untuk Ronaldo menganggap dirinya sedemikian penting. Tetapi apakah anda juga Ronaldo?
 

02


Kategori ini berkisar mengenai kerja berpasukan. Aspek ini menyamai kategori bodek daripada segi peratusan responden. Luahan hati mereka ialah ada manusia yang tidak memahami makna `kerja berpasukan’. Ada yang menganggap `kerja berpasukan’ ialah kerja dia dibuat oleh orang lain.



Ada juga yang lantang dan kaya dengan idea `di luar kotak’ semasa mesyuarat tetapi bab pelaksanaan memberi pelbagai alasan agar kita pula yang kena membuatnya. Selain itu, sangat berkira bila diberi peranan. Ini bukan kerja hakiki. Ada juga yang buat kerja sekerat jalan, untuk orang lain sempurnakan. Tetapi bila siap kerja, dia mengaku itu hasil kerjanya.



3. Bodoh sombong
 

03


Ini adalah situasi di mana seseorang melakukan sesuatu tanpa kebenaran, tanpa diketahui sebaliknya, memandai-mandai sendiri demi mendapat pujian bos. Kalau lancar, kita tidak kisah. Masalah timbul bila kerja dia mengakibatkan kegawatan sistem. Lazimnya, spesies ini sudah buat salah, tidak pernah mahu mengaku salah, jauh sekali meminta maaf.



4. Dengki/ Menyibuk
 

04


Ini kanser organisasi. Berada di kedudukan keempat mengisyaratkan tingginya isu dengki ini dalam kalangan pekerja. Tidak memeranjatkan sebenarnya kerana ia adalah elemen politik pejabat sejak azali.



Bila seseorang naik pangkat, muncul propaganda mempersoalkan kewibawaannya. Orang yang merungut itu, kita kenal sebagai memiliki tiga ciri yang disebut di atas iaitu bodek, ronaldoisme dan bodoh sombong.



Mereka ini suka mengintai gerak-geri anda di dalam Facebook, apa anda buat di luar waktu kerja, anda jumpa siapa, anda makan apa, anda pergi mana, kereta dan rumah besar atau sederhana. Anda mana tahu. Dia tak pernah LIKE atau komen Facebook anda.

 

5. Taichi

Ini seni mengelak daripada kena kerja lebih. Bayangkan filem The Matrix. Cara dia mengelak begitu licik, pantas selaju peluru. Satu cara pakar taichi ini ialah mengular iaitu menghalimunankan diri tiap kali bos cari. Bila bos tidak dapat jumpa, maka tugasan itu diberi kepada orang lain.


 

05


 

Satu lagi seni taichi ini ialah tidak mahu membantu orang lain yang terbeban dengan dua projek sekali gus. Selamba saja menolak.



6.     Perangai Diva

Dalam pembentangan mesyuarat, dia tidak mahu jadi jurucakap tetapi berkeras mahu namanya disebut paling atas. Mahu orang memanggilnya `Datin’ walaupun ramai tahu suaminya membeli `datuk' di warung mamak.
 

06


 

7.     Drama Queen

Serba serbi hal akan dihebahkan ke seluruh alam maya. Hal dia dengan ibu mentua pun diceritakan kepada rakan sepejabat. Belum lagi dia cerita ibu mentua bos. Mana dia dapat sumber? 


 

07


 

8.     Bungkus makanan selepas mesyuarat

 

Saya tidak pasti apakah ini suatu kesalahan kepada rakan sekerja anda kerana bagi mengelak pembaziran, elok makanan dibungkus bawa balik. Tetapi janganlah bungkus semasa majlis masih berlangsung dan ketika ramai lagi beratur mengambil makanan.


 

08



9.     Psiko

 

Ada rakan sepejabat gila? Yang `gila-gila’ itu diterima kerana kelakar. Psiko ini adalah benar-benar gila, anda harus waspada. Tengah-tengah menaip, tiba-tiba menangis tersendu-sendu. Atau menumbuk-numbuk meja tanpa provokasi. Elok panggil polis atau penghalau jin.


 

09

 

10.     MIA

 

Missing In Action adalah istilah tentera yang diterima pakai dalam masyarakat awam yang merujuk kepada `dia nampak sudah punch card di bawah tadi, tapi sampai tengahari tiada di mejanya’.


 

10

 

 

11.     Pemberontak
 

11

 

 

Golongan tidak puas hati terhadap apa sahaja yang berlaku kepada syarikat. Ugut hendak lapor kepada pihak berkuasa tentang pelanggaran peraturan tetapi sesudah 10 tahun, dia masih juga kekal bekerja di situ. Mulut lancang tapi hendak cari kerja lain, tidak berani. - DagangNews.com

 

 

Merrepak adalah ruangan pojok Johardy Ibrahim setiap Ahad yang menyentuh mengenai apa sahaja yang mencuit jiwa perasaan seminggu ini atau hal-hal yang menyebabkannya mendengar lagu It's Not Unusual oleh Tom Jones berulang-ulang kali. Merrepak kini adalah ruangan tetap di dalam portal berita DagangNews.com.  Sebarang cadangan topik untuk bahan Merrepak, sila emel [email protected]