KUALA LUMPUR 7 Jun - Boustead Plantations Bhd memeterai perjanjian pembiayaan hijau RM45 juta dengan China Construction Bank (M) Bhd (CCBM) untuk memudahkan pelaksanaan penanaman semula secara mampan sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap usaha alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Boustead Plantation, satu daripada syarikat minyak sawit utama Malaysia, berusaha untuk memanfaatkan pembiayaan untuk memaksimumkan program penanaman semula mampan yang dipercepatkan, terutamanya untuk aset perladangannya di Sabah, mulai tahun ini hingga 2024.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zainal Abidin Shariff berkata, perjanjian pembiayaan hijau akan membolehkan Boustead Plantation melengkapkan program peningkatan prestasi perladangan yang berterusan dengan mengoptimumkan potensi aset perladangan di Sabah.
Perjanjian pembiayaan itu ditandatangani oleh pengarah Boustead Plantation, Ahmad Shahredzuan Mohd Shariff dan setiausaha syarikatnya Affendi Mohd Yob, manakala CCBM diwakili oleh naib presiden eksekutifnya Wang Shaoqiang.
Zainal Abidin dan ketua pegawai eksekutif CCBM Wang QiJie menyaksikan majlis itu, menurut kenyataan Boustead Plantation di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu, nisbah hutang kepada ekuiti Boustead Plantation telah bertambah baik dalam beberapa tahun kebelakangan ini berikutan prestasi kewangannya yang kukuh, dengan penggearan pada 0.28 kali pada 31 Mac 2022 daripada 31 Dis 2021 adalah 0.37 kali.
Boustead Plantationberkata semua kawasan tanahnya berada di bawah pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia, manakala enam kilang sawitnya, diperakui di bawah Meja Bulat mengenai Lestari Minyak Sawit, telah diakreditasi dengan Sistem Pensijilan Rantaian Bekalan.
Tiada pembakaran dan biojisim sawitnya dikitar semula.
CCBM ialah anak syarikat China Construction Bank Corporation, sebuah bank komersial dengan kehadiran di 31 negara dengan ibu pejabatnya di Beijing. - DagangNews.com